KUALA LUMPUR – Segelintir rakyat Malaysia didapati semakin hilang jati diri apabila semakin melupakan Bahasa Kebangsaan iaitu Bahasa Melayu.
Profesor Kehormat Universiti Selangor (UNISEL), Datuk Dr. Muhammad Nur Manuty berkata, walaupun pelbagai usaha dilakukan oleh tokoh-tokoh bahasa dan kebudayaan Melayu sebeum ini tetapi malangnya ia tidak berhasil.
“Paling mengecewakan adalah politikus, pentadbir, pengurus, ahli akademik dan lain-lain profesional yang lebih gemar berbahasa Inggeris.
“Mereka tidak menunjukkan teladan baik walhal ada pemimpin-pemimpin cerdik pandai Cina yang lebih komited dalam menggunakan Bahasa Melayu daripada pemimpin Melayu sendiri,” katanya dalam ucaptama Program Webinar Sempena Hari Merdeka Dan Hari Malaysia 2021 bertajuk Konsep Demokrasi Dan Pembinaan Bangsa Malaysia: Cabaran, Halangan Dan Masa Depan hari ini.
Muhammad berkata, sukar untuk negara untuk maju ke hadapan untuk membina satu ‘Bangsa Malaysia’ sekiranya sikap bangsa Melayu sendiri mengalami penyakit rendah diri.
“Muafakat rakyat pelbagai bangsa Malaysia adalah untuk Bersatu padu menerusi penggunaan dan pembudayaan Bahasa Melayu.
“Malangnya beberapa kelompok dalam bangsa Cina terutama dalam Gerakan Dong Zong mempertikaikan penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara ini,” katanya.
Beliau menambah, tidak hanya itu, malah wujud kelompok Melayu liberal juga dilihat tidak yakin dengan Bahasa Melayu sebagai bahasa saintifik.
“Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah membuktikan sejak beberapa dekad yang lalu mengenai perkara ini. Selain itu, ada pemimpin politik Melayu tidak fasih berbicara dalam Bahasa Melayu,” katanya.
Jelasnya, ini jauh berbeza dengan apa yang berlaku di Singapura apabila perdana Menteri negara itu, Lee Hsien Loong fasih berpidato dalam Bahasa Melayu.
“Sesungguhnya kita sedang berada dalam simpang-siur kekeliruan dan keraguan identiti dalam muafakat selama ini. Apa akan jadi pada masa akan datang” soalnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, pembentukan Bangsa Malaysia masih belum dapat direalisasikan walaupun negara sudah mencapai ulang tahun kemerdekaan kali ke-64.
Muhammad berkata, pada bila-bila masa sahaja kerapuhan ikatan antara bangsa-bangsa dan kaum di negara ini boleh terjejas jika berlaku sebarang insiden besar yang tidak diingini.
“Komitmen kepada pembentukan bangsa Malaysia wujud sekitar 30-40 peratus sahaja. Ada kemungkinan dalam kelompok profesional pembentukan satu bangsa Malaysia itu telah mencapai 70 peratus. Ini pendekatan dalam pembentukan agenda Malaysia,” katanya.
Beliau berkata, sambutan ulang tahun hari kemerdekaan dan Hari Malaysia baru-baru ini dilihat masih suram dengan aktivtiti memperkasa bahasa ibunda.
“Ketika sambutan ini, tidak sunyi wacana di dalam televisyen dan media sosial mengenai gagasan pemerintah dan agensinya bagi membentuk Bangsa Malaysia.
“Adakah semua masih keliru, bersimpang-siur atau konflik, tidak ada idea kebangsaan yang mantap,” katanya.
Jelasnya lagi, segala ramuan membentuk bangsa Malaysia ada cuma terdapat kekurangannya.
“Di mana silapnya, sambutan itu ada tetapi tidak seperti yang diharapkan. Sambutan dingin dan tidak bermaya. Pemimpin pun tidak bercakap mengenai Jalur Gemilang untuk digantung di kediaman, pejabat atau di kenderaan.
“Ini jelas tidak dapat menjamin pembentukan Bangsa Malaysia,” katanya.
Beliau berkata, terhadap banyak cabaran untuk perkara ini dan seharusnya mengangkat Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara dalam diri setiap individu.
“Perlu ada dasar yang mantap tak perlu berubah. Setiap perdana menteri akan menukar dasar sedia ada. Sekarang Keluarga Malaysia, jika Perdana Menteri ke-10, ia harus dikekalkan,” katanya.
Program ini merupakan anjuran Institut Darul Ehsan (IDE) yang diadakan selama dua hari pada 14 September dan 20 September 2021.- MalaysiaGazette