Friday, November 15, 2024
Home Nasional Ciri baharu MySejahtera tiada peringatan daftar keluar – Fahmi

Ciri baharu MySejahtera tiada peringatan daftar keluar – Fahmi

Fahmi Fadzil . foto SYAFIQ AMBAK, 23 JULAI 2020.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil mempersoalkan beberapa ciri baharu yang telah ditambah baik terhadap aplikasi MySejahtera.

Beliau menjelaskan ramai dalam kalangan pengguna aplikasi tersebut ‘terlupa’ untuk menekan butang ‘daftar keluar’ atau ‘çheck-out’.

Menurutnya, masalah timbul apabila tiada peringatan yang diberikan untuk melengkapkan fungsi ‘daftar masuk’ pada aplikasi Covid-19 itu.

Justeru beliau menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menjelaskan perkara tersebut, selain menambah baik aplikasi sedia ada.

“Contohnya hari ini, ramai dalam kalangan kita yang masuk ke dalam dewan ini, yang log in tetapi tak log out, kita tak diberikan peringatan. Malah, ada yang seakan-akan tidur semalam di Parlimen sebab tak check-out di Parlimen.

“Jadi, apakah sebenarnya yang boleh kita lakukan? Tak payah fikir pasal super apps tetapi kita baikilah aplikasi yang ada sekarang ini,” katanya ketika membahas Titah DiRaja di Dewan Rakyat hari ini.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar memberitahu aplikasi MySejahtera dikemas kini dengan penambahan kemudahan paparan status vaksinasi dan risiko seseorang.

Paparan baharu itu antaranya, akan menunjukkan sama ada seseorang itu sudah divaksinasi sepenuhnya atau tidak setiap kali mengimbas kod QR daftar masuk.

Selain itu, satu butang ‘daftar keluar’ turut ditambah ke dalam aplikasi MySejahtera bagi menambah baik usaha menjejaki kontak rapat.

Membahas lanjut, Fahmi turut meminta agar KKM memberi penjelasan terhadap gangguan teknikal yang berlaku semasa pendaftaran vaksin AstraZeneca pada Mei lalu.

“Jadi saya pohon Menteri Kesihatan berikan jawapan dalam masa terdekat pada 23 September ini, tolong beri penjelasan. Berapakah duit rakyat yang telah dibelanjakan untuk membangunkan laman web tersebut?” soalnya lagi. – MalaysiaGazette