RAWANG – Hanya menggunakan pemutar skru dan walkie talkie mencuri kenderaan berat, buang alat Sistem Kedudukan Global (GPS), mengubahsuai enjin dan nombor casis sebelum menjual kepada pembeli pada harga serendah RM7,000.
Bagaimanapun, taktik licik sindiket yang beroperasi lebih enam bulan di sekitar Lembah Klang di sebuah bengkel di kawasan tersembunyi di sini akhirnya terbongkar.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, bertindak atas risikan dan maklumat awam Bahagian Risikan/Operasi/Rekod D4 Bukit Aman telah menjalankan beberapa siri tangkapan di daerah Gombak pada 18 September lalu.
Operasi tersebut berjaya membawa kepada penahanan tiga lelaki tempatan berusia 39 hingga 41 tahun yang mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau termasuk dadah.
“Suspek pertama telah ditangkap setelah memberhentikan lori yang dipandunya di tepi jalan Pulau Lumut di Alam Budiman Shah Alam dan dia berperanan sebagai pencuri lori selain mempunyai 11 kes curi kenderaan dan pernah ditangkap di bawah Akta Pencegahan Jenayah.
“Berpandukan maklumat suspek pertama, polis berjaya membawa kepada tangkapan suspek kedua di Jalan1/3, Rawang Industri yang berperanan sebagai pembeli lori daripada suspek pertama.
“Hasil pemeriksaan lanjut, sebanyak satu lori curi, 12 lori, sebuah forklift dan dua bongkah enjin yang terdapat kesan gangguan pada nombor casis dan nombor enjin telah berjaya dirampas,” katanya dalam sidang media kejayaan di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Penolong Pengarah D4 JSJ Bukit Aman SAC S. Shanmugamoorthy, Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal.
Tambah Abd Jalil, suspek kedua mempunyai empat kes dan pelbagai kesalahan dadah manakala suspek ketiga telah ditangkap berdasarkan maklumat suspek pertama di alamat 31, Jalan 1, Taman Sri Indah Bestari Jaya.
Menurutnya, suspek ketiga berperanan sebagai pencuri dan juga pembantu kepada suspek pertama serta mempunyai enam kes kecurian kenderaan dan Akta Kesalahan Kecil 1955.
“Dalam operasi yang sama polis berjaya merampas satu lori dengan muatan barang-barang penghantaran parcel e-hailing Shoppe’ yang dilaporkan hilang.
“Polis mengenalpasti kesemua rampasan bernilai RM2.8 juta dan modus operansi sindiket didalangi tiga suspek berkenaan adalah mereka mengekori lori yang dikenalpasti sebelum menunggu masa yang sesuai dan melarikannya apabila diletakkan di tepi jalan termasuk dalam keadaan enjin masih hidup.
“Selepas mencuri alat GPS yang dipasang pada lori itu akan dicabut dan dibuang sebelum membawa ke bengkel yang terletak jauh dari pandangan umum dalam kawasan semak Jalan Batu Arang sebelum mengubahsuai nombor casis dan enjin serta berbincang mencari pembeli untuk dijual.
“Polis percaya ada saki baki ahli kumpulan berkenaan yang masih bebas dan akan dijejaki sementara menagih bantuan orang awam menyalurkan maklumat tentang saki-baki penjenayah sindiket berkenaan.
“Malah kita juga siasat sama ada penukaran nombor enjin oleh sindiket ini mempunyai penglibatan jabatan lain yang bersubahat menghalalkan pendaftaran Jabatan Pengangkutan Jalan yang baharu,” katanya.
Untuk itu kata Abd Jalil, pihaknya bekerjasama dengan Agensi Pemeriksaan kenderaan elektronik (Puspakom) dan Jabatan Pengangkutan Jalan untuk memastikan sebarang penglibatan agensi penguatkuasa dalam sindiket itu.
Jelas beliau kesemua suspek direman di bawah Seksyen 117 Kanun Keseksaan sehingga esok dan akan disambung reman untuk melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum tujuh tahun dan juga boleh dikenakan denda.
“Mereka juga terlibat dalam transaksi jual beli kenderaan curi itu menyebabkan kita berjaya mendapat maklumat dari pembeli yang mencuriga setelah beberapa lama menunggu pengubahsuaian poligram pendaftaran tidak diselesaikan sindiket ini.
“Hasil siasatan setiap kenderaan curi itu dijual dengan harga serendah RM7,000 hingga maksimum RM30,000 di bawah harga pasaran sebenar yang berjumlah RM70,000 ke atas.
“Maka kami menasihatkan pemegang lesen barang lusuh di Selangor supaya segera melaporkan sebarang urusan jual beli atau penerimaan barang membabitkan kenderaan lori yang disyaki dicuri kepada polis.
“Polis Selangor akan mempertingkat pemeriksaan dan pemantauan dan jika dikesan bersubahat atau membeli barang lori curi akan berdepan tindakan penarikan semula lesen barang lusuh mereka,” tegasnya.-MalaysiaGazette