JOHOR BAHRU – Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun yang terperangkap di dalam sebuah kereta berjaya diselamatkan di Taman Setia Indah di sini sebentar tadi.
Difahamkan, kanak-kanak itu berada di dalam kereta Satria Neo tersebut berseorangan selama kira-kira antara 20 minit selepas ibunya turun sebentar untuk ke kedai sebelum mendapati kereta berkenaan terkunci.
Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Johor Jaya, Mohd. Anuar Amdzah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 10 pagi dan operasi tamat pada 10.50 pagi.
Menurutnya, sejurus tiba, pihaknya mendapati seorang kanak-kanak perempuan berada dalam kereta tersebut dan sedang menonton kartun menerusi telefon bimbit ibunya.
“Dalam operasi itu, kita turut meminta bantuan tukang kunci. Kita percaya kejadian berlaku mungkin disebabkan auto lock,” katanya di sini hari ini. – MalaysiaGazette.