Home Nasional 156 PPV untuk remaja walk-in ambil vaksin

156 PPV untuk remaja walk-in ambil vaksin

Healthcare worker injecting the Pfizer-BioNTech Covid-19 vaccine on a secondary school student during the National Covid-19 Immunisation Programme for Adolescents (PICK-A) at the Management and Science University (MSU) in Shah Alam. PIX: MOHD ADZLAN / MalaysiaGazette / 20 SEPTEMBER 2021.
Healthcare worker injecting the Pfizer-BioNTech Covid-19 vaccine on a secondary school student during the National Covid-19 Immunisation Programme for Adolescents (PICK-A) at the Management and Science University (MSU) in Shah Alam. PIX: MOHD ADZLAN / MalaysiaGazette / 20 SEPTEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia akan memperkenalkan pendekatan proses pemberian vaksin secara walk-in berjadual kepada remaja.

Langkah ini dibuat setelah mengambil kira Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) populasi dewasa yang mencapai sasaran dan bilangan penerima vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Awam serta Integrasi telah menurun, kata Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.

Semua PPV di bawah Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) Induk dijangka berhenti beroperasi pada 15 Oktober ini.

”Sehubungan itu, CITF-A telah mengenal pasti 156 PPV Awam dan Integrasi di seluruh negara bagi tempoh peralihan ini untuk meningkatkan kapasiti pemberian vaksinasi PICK-Remaja secara walk-in.

”Pelaksanaan kaedah walk-in berjadual akan dilakukan mengikut lokasi sekolah yang berhampiran dengan PPV yang dikenal pasti dan akan dilaksanakan mengikut giliran serta tarikh dan masa yang ditetapkan.

”Jadual akan dikeluarkan oleh pihak sekolah masing-masing kepada remaja dan ibu bapa,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurut beliau, pemberian vaksin PICK-Remaja secara walk-in di 156 PPV hanya akan bermula esok, 23 September 2021, melibatkan semua kategori remaja termasuk mereka yang tidak bersekolah.

Bagi remaja yang tidak bersekolah, mereka dibenarkan untuk walk-in di mana-mana 156 PPV yang berdekatan dengan kediaman.

Bagaimanapun sekiranya kuota vaksin di PPV tersebut telah habis untuk hari tersebut, mereka akan diberi janji temu di PPV yang sama keesokan hari atau di klinik kesihatan swasta yang berdekatan.

Manakala remaja yang menuntut di IPTA/ IPTS yang berumur di bawah 18 tahun dibenarkan walk-in ke semua PPV yang masih beroperasi pada ketika ini dengan menunjukkan pengenalan diri sebagai pelajar IPTA/IPTS.

Ibu bapa atau penjaga perlu hadir bersama untuk menandatangani borang kebenaran vaksinasi mereka.

Bagi remaja yang telah mendapat tarikh vaksinasi di PPV sekolah, kumpulan pelajar ini perlu mengekalkan janji temu sedia ada di PPV sekolah yang telah ditetapkan dan tidak dibenarkan walk-in ke PPV Awam atau Integrasi.

”Sebagai langkah mengelakkan kesesakan di PPV, hanya salah seorang ibu atau bapa atau penjaga dibenarkan menemani remaja untuk tujuan vaksinasi,” katanya sambil menasihatkan ibu bapa memastikan remaja yang akan divaksinkan mendapat rehat pada malam sebelumnya, bersarapan pagi dan mengambil air secukupnya sebelum ke PPV.

Ibu bapa perlu mengawasi remaja supaya tidak melakukan aktiviti lasak bagi tempoh tujuh hari selepas divaksinasi. – MalaysiaGazette