SETIAP generasi memiliki ciri khas dan keunikan masing-masing. Faktor perubahan dan situasi demografik semasa telah mewujudkan perbezaan setiap generasi dari aspek kepercayaan, nilai, budaya, perspektif, kegemaran, kemahiran, minat dan tret personaliti. Generasi yang lahir pada sekitar tahun 1946-1964 disebut sebagai “baby boomers”. Generasi ini juga dikenali sebagai generasi yang memiliki komitmen yang tinggi, persaingan, bekerja keras, berkepimpinan namun tidak suka dikritik. Antara karakter istimewa generasi ini adalah mementingkan kekeluargaan dan sanggup bekerja keras demi untuk memenuhi keperluan keluarga khususnya keperluan pendidikan dan masa depan anak-anak.
Manakala generasi X pula adalah generasi yang lahir pada sekitar tahun 1965-1979. Tempoh ini negara mengalami kesulitan ekonomi dan pembangunan teknologi masih baru. Individu yang lahir pada tempoh ini memiliki karakter berdikari yang cukup tinggi. Kebanyakan individu melalui pengalaman dimana kedua ibu bapa adalah bekerja dan sering ditinggal dan memerlukan mereka untuk bermandiri. Seterusnya adalah generasi Y (1980-1995) yang turut dikenali sebagai generasi milenium.
Tempoh ini teknologi telah semakin maju dan kebanyakan individu banyak menggunakan teknologi komunikasi seperti email, SMS dan lain-lain. Tidak hanya itu saja, generasi Y juga lebih terbuka dalam pandangan politik dan ekonomi, sehingga mereka terlihat sangat peka terhadap sebarang perubahan sekeliling. Generasi inilah yang banyak menerajui kepimpinan dan pembangunan negara pada hari ini. Yang terakhir adalah generai Z atau disebut juga generasi Net. Generasi ini adalah terdiri daripada anak-anak remaja pada hari ini. Mereka telah lahir tanpa mengetahui bagaimana kehidupan tanpa Internet, laptop, gajet dan juga media sosial.
Generasi ini juga adalah generasi yang sangat mencabar dek kerana pengaruh kemajuan teknologi tanpa sempadan dan golongan inilah yang akan difokuskan dalam perkongsian artikel ini. Adalah sangat penting untuk mengenali karakter yang dimiliki oleh anak-anak remaja harini terutamanya kepada ibu bapa dalam usaha mengasuh, membimbing serta mendidik anak-anak. Antara karakter yang dimiliki oleh generai Net atau anak-anak remaja hari ini adalah pertama memiliki matlamat yang besar untuk berjaya. Anak remaja zaman sekarang cenderung memiliki karakter yang positif dan optimis dalam menggapai impian mereka. Kebanyakan mereka lahir dalam dunia yang serba lengkap dimana ibu bapa mereka memiliki kerjaya yang baik serta mampu menyediakan kemudahan yang diperlukan.
Generasi hari ini juga tersedia dengan contoh, pengalaman atau tauladan tertentu yang dibekalkan oleh generasi lepas untuk dijadikan panduan dalam kehidupan. Namun, anak-anak remaja ini memerlukan bimbingan daripada ibu bapa untuk membantu mendefinisikan matlamat mereka dengan jelas. Tanpa bimbingan dan pemerhatian ibu bapa, anak-anak cenderung untuk terikut-ikut dengan pengaruh yang tidak sihat. Kedua, anak-anak hari ini gemar kepada aktiviti atau tingkah laku yang pantas atau cepat.
Kebanyakan anak-anak remaja hari ini tidak suka untuk meluangkan masa yang lama bagi meneliti sesuatu masalah. Ini kerana anak-anak ini lahir dari dunia yang serba pantas. Kehidupan mereka sinonim dengan gaya hidup seperti sarapan pagi telah tersedia, bancuhan kopi dan makanan segera serta kemunculan pelbagai kemudahan pengangkutan yang boleh melangkau jarak yang jauh dalam masa yang singkat.
Ketiga, sukakan kebebasan. Anak-anak remaja hari ini suka kebebasan yang merangkumi
kebebasan mengutarakan pendapat, berkreativiti, meneroka, meluahkan dan sebagainya.
Dengan kebebasan yang diberikan, mereka akan rasa lebih dihargai, diterima dan diperlukan.
Selain itu, memandangkan golongan ini membesar ditemani teknologi moden corak minat
mereka juga turut terpengaruh. Mereka lebih suka corak pendidikan yang berbentuk meneroka berbanding menghafal. Sebaliknya, dari aspek komunikasi pula. Mereka tidak suka diberi arahan tanpa ada penjelasan logik. Justeru ibu bapa perlu menyediakan penjelasan logik khususnya terhadap peraturan yang disediakan di dalam keluarga. Namun, kebebasan yang diberikan kepada anak-anak perlu disertai dengan tanggungjawab. Ibu bapa tidak boleh sesekali memberi sepenuh kebebasan tanpa memahami prinsip serta akibat. Keempat adalah mempercayai diri. Kebanyakan anak-anak remaja ini memiki tahap kepercayaan terhadap diri yang tinggi. Meraka berkeupayaan melihat sesuatu masalah secara optimis serta positif. Ibu bapa perlu berhati-hati agar tidak meruntuhkan kepercayaan diri anak-anak.
Namun, ibu bapa perlu menyeimbangkan kepercayaan diri anak-anak remaja dengan efikasi diri. Contohnya, ibu bapa bersama-sama meneroka potensi-potensi yang ada
dalam diri anak remaja ini untuk mencapai sesuatu matlamat. Selain itu, persekitaran yang kondusif perlu disediakan agar kepercayaan serta kompetensi diri dapat terbina.
Kelima, cenderung untuk dipengaruhi oleh sumber media. Ini kerana, segala bentuk
maklumat dapat diakses dengan mudah. Dengan hanya menaip di keyboard maka terpaparlah segala bentuk maklumat atau gambar berkaitan dengan sesuatu topik. Anak-anak remaja hari ini juga sering tergesa-gesa meyakini sumber-sumber yang diperolehi di media teknologi.
Perkara ini berlaku kerana golongan ini membesar dalam persekitaran yang mempunyai
lambakan kemudahan akses kepada maklumat tanpa sempadan. Terakhir, keinginan
mendapat penghargaan. Setiap individu pada dasarnya inginkan penghargaan bagi setiap
kerja keras, usaha atau dedikasi yang diberikan. Generasi hari ini memiliki keinginan untuk diberikan penghargaan dalam bentuk reward seperti pujian, hadiah atau sebarang
penghargaan atas kemampuan atau tingkah laku yang dipamerkan.
Pola asuhan
Umumnya terdapat tiga jenis pola asuhan iaitu autoritarian, autoritatif dan permisif.
Keibubapaan autoritarian adalah dicirikan oleh ibu bapa yang mengamalkan permintaan yang tinggi dan responsif yang rendah terhadap anak-anak. Cara keibubapaan ini mengharapkan anak-anak untuk mematuhi sepenuhnya segala peraturan ketat yang dikenakan kepada mereka. Ibu bapa autoritatif pula mengenakan peraturan yang ketat tetapi memberi rasional kepada anak-anak mereka, dan secara amnya mereka adalah penyayang dan terlibat secara langsung dengan anak-anak.
Seterusnya, keibubapaan permisif pula jenis ibu bapa yang berkecenderungan memenuhi semua kehendak anak-anak, jarang menetapkan disiplin kepada anak-anak, cenderung mempunyai tahap kawalan yang rendah tetapi tinggi dalam kemesraaan dengan anak-anak. Pola asuhan atau jenis keibubapaan yang berkesan diera digital adalah jenis autoritatif, dimana ibu bapa memberi peluang untuk anak-anak remaja meneroka serta memperkenalkan dunia teknologi kepada anak-anak namun disertai dengan tanggungjawab dan juga peraturan yang berkesan.
Umum mengetahui, ibu bapa adalah pendidik yang mencorak bagaimana interaksi anak-anak ketika berhadapan dengan kandungan media. Oleh yang demikian, ibu bapa perlu memainkan peranan yang aktif terhadap anak masing- masing kerana ibu bapa merupakan agen yang paling dekat dan berpengaruh terhadap anak-anak. Justeru, ibu bapa harus membantu dan membimbing anak-anak ketika berhadapan dengan media dan teknologi secara positif.
Membantu anak-anak berhadapan dengan media dan teknologi bukanlah bermaksud
menghalang kanak-kanak daripada terdedah dengan media dan teknologi. Ini kerana,
mengeluarkan anak dari risiko hanya akan memperluas jarak mereka dengan persekitaran
sosial. Sekiranya suatu hari nanti di luar kawalan ibu bapa kanak-kanak tersebut telah berhubung dengan teknologi atau terdedah dengan kandungan media yang negatif, rasa ingin tahu ditahan begitu banyak dan membawa kepada kesukaran untuk diuruskan.
Oleh yang demikian ibu bapa harus bijak dalam mendidik anak yang lahir dizaman digital
dengan mempersiapkan diri agar anak-anak dapat mengoptimumkan penggunaan teknologi untuk perkembangan diri serta bakat mereka. Peraturan perlu ditetapkan yang melibatkan kerjasama di antara ibu dan bapa terhadap penggunaan gajet dalam keluarga. Kesepakatan yang dibuat merangkumi tempoh penggunaan, jenis akses yang sesuai mengikut usia, peraturan serta batasan sosialisasi di media sosial. Selain itu, tingkah laku ibu bapa terhadap teknologi atau media sosial juga menjadi cerminan dalam perilaku anak-anak remaja ketika melakukan aktiviti diatas talian.
Ibu bapa yang mengambil berat dan faham kesan pendedahan media akan berusaha memperkasa diri dengan meningkatkan pengetahuan berkaitan dengan teknologi. Ibu bapa jenis ini memiliki ciri-ciri yang adaptif, bekerjasama dan sering melibatkan diri dalam urusan kekeluargaan. Berdasarkan pengalaman penulis sebagai kaunselor, ibu bapa jenis ini sering mempamerkan perubahan yang cepat dan berjaya dalam mendidik anak.
Oleh: Dr Nor Hamizah Ab Razak,
Pensyarah Kanan, Program Kaunseling,
Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan
Universiti Sains Islam Malaysia