LA PALMA – Gunung berapi yang meletus di La Palma di Kepulauan Canary, Sepanyol telah memaksa pihak berkuasa mengosongkan perkampungan-perkampungan lain yang menjadi laluan aliran lava untuk mengalir ke laut.
Perintah pemindahan di El Paso dibuat selepas gunung berapi di taman negara Cumbre Vieja terus ‘memuntahkan’ lava.
Lebih daripada 6,000 orang sudah menyelamatkan diri dari lava yang memusnahkan ratusan rumah.
Letusan yang bermula pada hari Ahad lalu kemudian menyebabkan empat gempa bumi berlaku selepas lubang letusan baharu terbuka.
Pegawai tempatan mengatakan lava dapat mencetuskan reaksi kimia yang menyebabkan letupan dan pembebasan gas beracun ketika sampai ke laut.
Pihak berkuasa laut telah mewujudkan zon pengecualian dua batu nautika (3.7km) di laut, melibatkan kawasan laluan lava.
Langkah ini bertujuan untuk mengelakkan ‘penonton di atas kapal dan gas yang menjejaskan orang ramai”, kata presiden majlis pulau itu, Mariano Hernandez.
Pakar-pakar berkata, lava dijangka sampai ke laut pada hari Selasa.
Penduduk diberitahu untuk menjauhkan diri dari kawasan yang telah pun dikawal oleh polis.
Menjelang petang Selasa, aliran lava terbesar telah memasuki bandar Todoque, dengan jarak sekitar 200 meter sejam, kata pihak berkuasa.
Penduduk bergegas menyelamatkan harta benda dari rumah masing-masing dalam tempoh dua jam yang diberikan oleh pekerja kecemasan.
Lava dari letusan gunung berapi itu diramal melitupi kawasan seluas 103 hektar dan memusnahkan 166 buah kediaman. – BBC