Home Nasional Taman Tamadun Islam mula dibuka hari ini

Taman Tamadun Islam mula dibuka hari ini

Taman Tamadun Isla
Taman Tamadun Islam di Terengganu mula dibuka kepada pelancong.

KUALA TERENGGANU – Taman Tamadun Islam (TTI) yang menjadi antara nadi pelancongan Terengganu mula dibuka kepada pengunjung bermula hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri Ariffin Deraman berkata pengoperasian semula taman didik hibur itu selaras dengan peralihan Terengganu ke fasa tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN), Jumaat lepas.

“Setelah lebih empat bulan menangguhkan operasi berikutan penularan COVID-19, TTI kini sudah boleh dibuka kepada pengunjung dengan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Sempena pembukaan ini, kita menawarkan pelbagai promosi menarik seperti diskaun harga tiket RM10 kepada kanak-kanak dan warga emas manakala RM15 untuk dewasa,” katanya pada sidang media di TTI di sini hari ini.

Antara tarikan yang terdapat di TTI ialah Taman Monumen, TTI River Cruise, Restoran D’Benteng dan Masjid Kristal.

Ariffin berkata pihaknya juga merancang untuk membina dua lagi monumen baharu bagi menarik kedatangan lebih ramai pengunjung ke TTI.

“Setakat ini saya belum boleh umumkan secara terperinci dua monumen yang bakal dibina tetapi ia melibatkan bangunan bersejarah dari Timur Tengah dan China,” katanya.

Kini terdapat 21 monumen berkaitan sejarah Islam yang didirikan taman berkenaan termasuk Masjid Negara (Malaysia), Dome of the Rock (Palestin), Masjidil Haram (Arab Saudi), Al-Hambra Citadel (Sepanyol) dan Taj Mahal (India).

— BERNAMA