MELAKA – Kontrak syarikat pengendali perkhidmatan Monorel Melaka yang terletak di Persimpangan Jalan Tun Ali di sini, ditamatkan kerana melanggar terma dan syarat perjanjian yang dimeterai bersama Unit Pembangunan Ekonomi Negeri (UPEN), persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka diberitahu hari ini.
Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata pelanggaran utama yang dilakukan syarikat berkenaan ialah menambah klausa dalam perjanjian yang telah dimeterai iaitu membangunkan 15 lot tanah di kawasan persekitaran Stesen Monorel Melaka.
“Klausa ini tidak ada perjanjian asal yang ditandangani bersama UPEN dan perjanjian ini dibuat pada 23 Ogos 2018… yang sepatutnya menjawab ialah Kerajaan Pakatan Harapan bukan kami.
Terdahulu, Low ingin mengetahui status Monorel Melaka yang menjadi salah satu ikon pelancongan negeri itu yang mula dibangunkan pada 2017 namun kini tidak beroperasi dan didakwa menjadi projek gagal kerajaan negeri.
Mengulas lanjut, Muhammad Jailani berkata selain itu, syarikat berkenaan gagal membayar yuran komitmen sebanyak RM100,000 kepada UPEN bagi melaksanakan projek itu selain tidak membayar lima peratus daripada jumlah keuntungan atau minimum RM1,000 kepada Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) sejak kontrak bermula.
“Banyak terma dan syarat yang telah dilanggar syarikat berkenaan dan kita di peringkat kerajaan negeri tidak boleh lagi bertoleransi dengan pelanggaran itu kerana ia bukan sahaja merugikan kerajaan tetapi turut membahayakan keselamatan orang awam,” katanya.
Sementara itu, menjawab soalan lisan Low berkaitan pelan yang dirangka kerajaan negeri untuk membantu sektor pelancongan yang terjejas akibat pandemik COVID-19, Muhammad Jailani berkata Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Jabatan Ketua Menteri Melaka telah melaksanakan program promosi berkonsep hibrid bagi tempoh enam hingga 12 bulan bermula Julai lepas.
Beliau berkata inisiatif promosi berkenaan turut melibatkan kerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Tourism Malaysia dan badan bukan kerajaan (NGO) pelancongan di dalam dan luar negeri itu.
Katanya antara program yang telah dan akan dilaksanakan ialah FB Live Relax @ Melaka dua kali sehari setiap Sabtu bermula 24 Julai lepas hingga 25 Sept ini, DiTTAM Virtual Travel Expo (27-29 Ogos), Malaysia Inbound Tourism Association (MITA) Cuti-Cuti Malaysia Bersama Shopee Travel Fair 2021 (September), Program Go Malaysia Virtual Fair (8 dan 9 Sept) dan Virtual Tour oleh Persatuan Pemandu Pelancong Negeri Melaka (setiap hujung minggu bermula Oktober hingga Disember).
— BERNAMA