KUALA LUMPUR Cadangan untuk mengenakan tindakan ke atas penjawat awam yang enggan menerima suntikan vaksin COVID-19 bukan bertujuan menghukum, sebaliknya ia untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan vaksin bagi membawa negara keluar daripada krisis pandemik tersebut.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (Cuepacs) Adnan Mat berkata walaupun 98 peratus penjawat awam telah mengambil vaksin, tetapi baki dua peratus yang belum divaksin walaupun kecil tidak harus timbul, disebabkan mereka adalah pelaksana kepada dasar dan polisi kerajaan.
“Dalam hal pengambilan vaksin, Cuepacs berpandangan kerajaan perlu mengambil langkah-langkah yang lebih ke hadapan berdasarkan peraturan semasa sedia ada bagi memastikan penjawat awam keseluruhannya mengambil vaksin.
Semalam, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menerusi satu kenyataan memaklumkan akan mengemukakan cadangan berhubung tindakan yang boleh diambil terhadap penjawat awam yang enggan mengambil suntikan vaksin COVID-19 kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Menurut JPA, beberapa pilihan tindakan dan pendekatan telah dibawa kepada MKN untuk diputuskan termasuk cadangan arahan mewajibkan semua penjawat awam mengambil vaksin kecuali mereka yang mempunyai alasan kukuh untuk pengecualian atas faktor kesihatan.
“Sewajarnya penjawat awam selaku jentera pentadbiran kerajaan yang melaksanakan segala dasar dan polisi kerajaan harus menjadi kumpulan pertama yang menjayakan aspirasi kerajaan,” katanya.
Sementara itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Malaysia Aminuddin Awang turut senada dengan Adnan dan menyifatkan langkah JPA tersebut dapat memberikan keyakinan kepada ibu bapa untuk menghantar anak-anak ke sekolah.
“Secara dasar kita bersetuju dengan langkah JPA itu tetapi kita hendak tahu juga jika pengambilan vaksin itu diwajibkan, apakah tindakan kepada penjawat awam yang enggan menerimanya,” katanya ketka dihubungi Bernama hari ini.
Aminuddin berkata ketika ini terdapat seramai 480,000 guru dalam perkhidmatan namun jumlah yang belum divaksin tidak dapat diketahui memandangkan proses vaksinasi masih berjalan.
— BERNAMA