Home Nasional Polis buka kertas siasatan libat tiga pegawai SPRM – Hamzah

Polis buka kertas siasatan libat tiga pegawai SPRM – Hamzah

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin bercakap dalam sidang media pada hari pertama memulakan tugas di Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 01 SEPTEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Polis telah membuka kertas siasatan isu penahanan tiga pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan kes membabitkan seorang bekas ketua jabatan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, pihaknya turut meminta agensi itu agar siasatan dipercepatkan selain bersetuju ia diklasifikasi sebagai kes curi.

“Isu ini timbul dalam masa terdekat ini sebab itu saya jawab kertas siasatan sudah kita buat dan dibuka. Saya tidak pernah siasatan dalaman dan itu dibuat oleh SPRM.

“Polis akan lihat kembali kertas laporan dan saya bersetuju kalau kes curi, akan dimasukkan dalam kes curi.

“Kita mahu pastikan kes ini dipercepatkan untuk kepentingan rakyat. Kerajaan ini adalah kerajaan yang mengekalkan sikap benar-benar berintegriti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan perbahasan usul menjunjung kasih titah diraja peringkat Kementerian Dalam Negeri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan oleh Ahli Parlimen Puchong, Gobind Deo (PH) berhubung tindakan SPRM yang menyiasat sendiri kes melibatkan tiga pegawainya berhubung dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan kes membabitkan seorang bekas ketua jabatan. – MalaysiaGazette