KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menumpaskan sindiket penipuan dan pemalsuan dokumen serta cap keselamatan imigresen dalam satu siri operasi penguatkuasaan melibatkan dua orang lelaki warganegara Pakistan.
Operasi di dua premis pada awal pagi semalam berdasarkan hasil risikan dan maklumat berhubung kegiatan suspek berkaitan penipuan melibatkan urusan Imigresen.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, hasil serbuan dan pemeriksaan di premis pertama iaitu di Ampang, pihaknya menjumpai cap keselamatan Imigresen Malaysia, cap nama pegawai JIM, cap kedutaan asing, cap entry/exit Negara Pakistan, cap UNHCR, cap Hasil , cap bank dan pelbagai cap syarikat.
Turut dijumpai surat kelulusan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja yang dipalsukan.
Manakala serbuan di lokasi premis kedua di Wangsa Maju telah menjumpai cap nama pegawai JIM, cap pesuruhjaya sumpah, cap Majlis Agama Islam Narathiwat dan satu naskah pasport India.
“Suspek pertama yang berumur 32 tahun telah tinggal lebih masa selain memiliki pasport tamat tempoh, manakala suspek kedua yang berumur 37 tahun memegang Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang suami kepada warganegara,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Kedua-dua suspek dipercayai telah menjalankan kegiatan ini sejak tiga tahun lalu dan menjadi perantara kepada pelanggan dalam kalangan warga asing yang ingin mendapatkan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dengan bayaran di antara RM 2,500 hingga RM 4,000 bagi setiap pasport.
Khairul percaya mereka mempunyai rangkaian dengan beberapa lagi ejen warga asing lain yang telah dikenalpasti termasuk orang tempatan.- MalaysiaGazette