KUALA LUMPUR – Kajian Kualiti Pengajaran Dalam Talian Semasa Pandemik Covid-19 di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Malaysia dikritik Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir (PKR).
Beliau berkata, dapatan kajian berkenaan yang mendapati 78.4 peratus pelajar tidak berasa tertekan dengan kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP) dalam talian tidak menggambarkan situasi yang sebenar.
“Saya tidak bersetuju, saya rasa kajian tersebut perlu dilihat lebih teliti kerana maklum balas yang kami dapat mahasiswa menghadapi tekanan yang luar biasa, cuma Datuk Speaker,” katanya ketika sesi soal jawab lisan dalam Dewan Rakyat, hari ini.
Bagaimanapun Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad memaklumkan kajian yang dijalankan oleh kementerian berkenaan belum berakhir.
Beliau memberi jaminan akan membentangkan hasil kajian yang selesai dengan lebih komprehensif khususnya melibatkan tahap tekanan mahasiswa yang mengikuti kaedah pembelajaran PdP dalam talian bermula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 dan 2.0.
“Betul, untuk makluman semua bahawa kajian kualiti pembelajaran dalam talian semasa pandemik Covid-19 Institut Pengajian Tinggi (IPT) telah dijalankan dan belum ke peringkat kita betul-betul menamatkan kajian ini.
“Makanya, kita akan keluarkan dapatan yang lebih komprehensif selepas selesai kajian yang dibuat mengambil kira faktor PKP 1.0 dan 2.0,” katanya.
Mengulas lanjut, Ahmad Masrizal akan terus memantau tahap kesiapsiagaan universiti awam sebelum memulakan sesi pembelajaran bersemuka, khususnya bagi menangani tahap emosi mahasiswa.
“Dalam hal ini saya yakin dalam konteks keseluruhan kalau kita lihat, permasalahan tentang tekanan ini bukan hanya bergantung pelajaran semata-mata terkait dengan pelbagai masalah lain yang berlaku dalam situasi konteks masing-masing.
“Dalam konteks memastikan keadaan pelajar memasuki IPT dengan lebih baik tidak membawa masalah, saya dalam usaha turun ke semua IPTA untuk melihat kesediaan universiti.
“Esok saya akan lihat Universiti Teknologi Mara (UiTM), melihat status penerimaan pelajar kembali ke kampus, saya akan bawa ke pihak universiti,” tambahnya,
Semalam, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Noraini Ahmad berkata, dapatan awal Kajian Kualiti Pengajaran Dalam Talian Semasa Pandemik Covid-19 di IPT mendapati 78.4 peratus pelajar tidak berasa tertekan dengan kaedah pembelajaran PdP dalam talian.
Katanya, kajian berkenaan dilaksanakan bermula 15 November tahun lalu itu kini di peringkat akhir. – MalaysiaGazette