KUALA LUMPUR – Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menjelaskan tidak berlaku ralat dalam data kes kematian yang dilaporkan kementerian itu.
Jelas beliau, kes kematian akibat Covid-19 hanya menghadapi ‘backlog’ atau kematian tertunggak berikutan kebanjiran kes Covid-19 terutamanya di Lembah Klang pada penghujung bulan Julai hingga akhir Ogos 2021.
“Bagi melaporkan setiap kes kematian Covid-19, ia haruslah mengikut klasifikasi kematian Covid-19, di mana di Malaysia, hanya kematian yang disebabkan oleh jangkitan Covid-19 dilaporkan sebagai kematian Covid-19 bagi tujuan statistik kebangsaan.
“Ini juga turut menjadi penanda aras di peringkat antarabangsa. Klasifikasi ini adalah mengikut garis panduan yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada April 2020,” katanya pada sesi perbahasan usul menjunjung kasih Titah Diraja pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Pada 11 September lalu, sejumlah 592 kematian akibat Covid-19 dilaporkan dan jumlah tersebut termasuk kes tertunggak atau backlog yang tidak dilaporkan sebelum ini.
Data yang dikongsi laman web COVIDNOW menunjukkan, daripada 592 kes terbabit, hanya 100 kematian dicatatkan dalam tempoh 24 jam pada hari tersebut.
Kematian tertinggi pernah dilaporkan di negara ini adalah pada 26 Ogos lalu iaitu sebanyak 393 kes.
Mengulas lanjut, Khairy berkata, tunggakan pelaporan kes kematian tidak hanya berlaku di Malaysia, malah ia turut berlaku di negara-negara lain seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan India.
“Malaysia tidak terkecuali. Di Malaysia, tunggakan pelaporan ini berlaku di seluruh negara, namun kesannya amat ketara di Lembah Klang memandangkan pada akhir bulan Julai 2021 sehingga pertengahan Ogos 2021, Lembah Klang mengalami peningkatan kes Covid-19 yang signifikan sekaligus mengakibatkan beban kerja yang tinggi dan kekangan di lapangan dari segi sumber terutamanya sumber manusia,” ujarnya.
Dalam pada itu, Khairy berkata, trend kematian ekoran Covid-19 didapati menurun yang mana sehingga 22 September lalu masih terdapat 422 pelaporan kes kematian tertunggak termasuk 109 kes kematian di luar fasiliti kesihatan (BID) sejak pertengahan Julai 2021.
Sehubungan itu, Kementerian Kesihatan (KKM), katanya, telah mengambil langkah-langkah yang sewajarnya bagi memastikan data pelaporan kematian dikemas kini secepat mungkin dengan menetapkan tempoh pelaporan kematian oleh semua fasiliti kesihatan perlu dilakukan dalam tempoh 48 jam.
“Jika dilihat pada trend kematian mengikut tarikh kematian sebenar (rujuk COVIDNOW), trend kematian bagi Malaysia dan di Lembah Klang, kini telah menunjukkan trend yang menurun.
“Sehubungan itu, adalah penting untuk merujuk kepada tarikh sebenar kematian dan bukannya pada bilangan pelaporan kes kematian yang diterima setiap hari.
“Kementerian Kesihatan sedang giat mengemas kini pelaporan tertunggak ini dan ini menyumbang kepada bilangan pelaporan kematian harian yang tinggi setiap hari,” katanya. – MalaysiaGazette