Home Utama Malaysia henti guna konsep imuniti kelompok – Khairy

Malaysia henti guna konsep imuniti kelompok – Khairy

Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan menghentikan penggunaan konsep ‘imuniti kelompok’ dan memfokuskan kepada proses vaksinasi seluruh rakyat negara ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja amat penting untuk negara mengekang penularan virus tersebut.

“Kita jangan lagi melihat kepada imuniti kelompok, kita kena pastikan liputan seluas mungkin program vaksinasi sebab itu PICK Remaja sangat penting.

“Kita sedang melihat kepada data ujian klinikal yang dikeluarkan oleh Pfizer untuk vaksinasi kepada kanak-kanak di bawah usia 12 tahun.

“Sebab tidak cukup untuk 80 hingga 90 peratus dewasa sahaja terima vaksin kerana kanak-kanak tidak divaksin,” katanya dalam sesi perbahasan usul menjunjung kasih Titah Diraja pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Jelas Khairy, ini kerana pakar-pakar berkaitan Covid-19 sudah menghentikan penggunaan konsep itu sejak penularan varian Delta.

“Apabila kita sudah mencapai 90 peratus dewasa, kurang lebih liputan bagi seluruh penduduk adalah lebih 60 peratus. Kita akan teruskan kepada PICK Remaja tetapi kita juga telah buat keputusan merentas negeri itu tidak akan meningkatkan kes, cuma perjumpaan beramai-ramai itu yang menyebabkan penularan,” katanya lagi.

Pada Selasa lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengucapkan tahniah atas kejayaan PICK yang berjaya mencapai sasaran 80 peratus populasi dewasa di negara ini lengkap divaksin.

Menurut data portal COVIDNOW, Malaysia mensasarkan 80 peratus rakyat atau 26,125,920 di negara ini akan lengkap divaksinasi menjelang 16 Disember ini. – MalaysiaGazette