Home Nasional Pemindahan ibu kota Indonesia tingkat kes rentas sempadan – Saifuddin

Pemindahan ibu kota Indonesia tingkat kes rentas sempadan – Saifuddin

Datuk Saifuddin Abdullah Undi 18 GE15 General Election voters vote
Saifuddin Abdullah

KUALA LUMPUR – Putrajaya tidak menafikan pemindahan ibu kota baharu Indonesia ke Kalimantan Timur mampu menyumbang kepada pemesatan ekonomi setempat termasuk Sabah dan Sarawak.

Namun menurut Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah, pemindahan itu turut akan membawa cabaran tersendiri termasuk isu berkaitan rentas sempadan.

“Tidak dinafikan, pemindahan ibu kota Indonesia dari Jakarta ke Kalimantan Timur juga akan membawa cabaran-cabarannya yang tersendiri terutamanya dalam isu-isu rentas sempadan antara Malaysia dan Indonesia antaranya penyeludupan, jenayah rentas sempadan dan sebagainya.

“Bagaimanapun, kerajaan yakin bahawa sebarang isu-isu rentas sempadan yang timbul boleh diselesaikan secara efektif dan konstruktif antara Malaysia dan Indonesia,” katanya dalam sesi perbahasan usul menjunjung kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.

Penekanan itu kata Saifuddin, akan diberikan terhadap peningkatan kolaborasi dan pengukuhan kerjasama keselamatan dan pertahanan di kawasan sepanjang sempadan Sabah dan Sarawak dengan Kalimantan.

Menurut beliau, pembangunan ibu kota tersebut telah dijadual untuk dimulakan pada tahun 2020 dan proses pemindahan akan dilakukan pada tahun 2024.

Apabila dilaksanakan kelak, pemindahan ibu kota baharu ke Kalimantan Timur itu mampu menyumbang kepada pemesatan ekonomi setempat termasuk Sabah dan Sarawak.

Pemindahan itu katanya boleh mendapat limpahan manfaat, baik dari sudut aliran perdagangan mahu pun dalam sektor-sektor lain seperti pelancongan.

Dalam masa yang sama, kerajaan berpendapat pemindahan itu juga dijangka akan membuka banyak peluang pelaburan Malaysia di Kalimantan Timur dengan penglibatan syarikat-syarikat pemaju Malaysia yang mengambil bahagian dalam projek pembangunan ibu kota ini.

Saifuddin turut menjawab mengenai pertanyaan Ahli Parlimen Sibuti, Lukanisman Awang Sauni (GPS) berhubung pencerobohan kapal-kapal milik Republik Rakyat China di Beting Patinggi Ali.

Menjawab pertanyaan itu, Malaysia  telah mengemukakan Nota Bantahan Diplomatik kepada kerajaan negara-negara yang mana kapal asing miliknya didapati menceroboh perairan negara.

“Tindakan ini diambil selaras dengan undang-undang antarabangsa dan pendirian Malaysia untuk mempertahankan kedaulatan dan hak kedaulatan dalam perairan negara.

“Tindakan ini juga adalah sebagai langkah Malaysia yang tidak pernah mengiktiraf tuntutan negara-negara penuntut Laut China Selatan apabila tuntutan tersebut melibatkan dan bertindih dengan perairan negara berdasarkan Peta Baru Malaysia 1979,” jawab Saifuddin. – MalaysiaGazette