Home Nasional Pembukaan semula taman tema akan diumum tidak lama lagi – Nancy Shukri

Pembukaan semula taman tema akan diumum tidak lama lagi – Nancy Shukri

Kerajaan Selangor  mengurangkan kadar Duti Hiburan daripada 25 peratus kepada lima peratus ke atas setiap bayaran masuk ke taman tema di negeri itu selama lima tahun.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Pembukaan semula taman tema keluarga akan diumumkan dalam masa terdekat, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri.

Menurutnya, khabar gembira itu akan disampaikan pada masa yang sesuai memandangkan banyak sektor ekonomi telah dibenarkan beroperasi termasuk gelembung pelancongan yang dijangka akan diperluaskan pada bulan depan.

“Ini melihat data yang telah dikongsikan pihak KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) kepada kami (MOTAC) ianya tidak begitu jauh (lama) lagi.

“Jadi tidak lagi timbul destinasi mana yang buka, taman tema nanti dalam masa terdekat akan diumumkan kalau sudah dibuka semuanya ini taman tema akan diumum mungkin dalam masa terdekat,” katanya pada sesi penggulungan Usul Menjunjung Kasih Titah Yang di-Pertuan Agong pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik tentang kebenaran untuk taman tema keluarga kembali beroperasi.

Maszlee berkata, kebenaran ini sudah tentu akan menyelamatkan pengusaha dan pekerja yang terjejas akibat pandemik ini.

“Sudah banyak gelembung pelancongan dibuka, tapi taman tema keluarga masih belum beroperasi walaupun kita boleh kenakan Prosedur Operasi Standard (SOP). Lebih mudah mereka ikuti berbanding SOP peranginan di pantai yang lebih sukar dikawal.

“Taman Tema di kawasan Fasa 2, 3, 4 (Pelan Pemulihan Negara) mungkin sudah mula boleh dimuka agar keluara boleh kembali berlibur dan pengusaha kembali berniaga dan pekerja dapat kembali bekerja,” katanya. – MalaysiaGazette