Home Nasional Bukit Aman buka kertas siasatan penyebar video, mesej lucah seorang pendakwah

Bukit Aman buka kertas siasatan penyebar video, mesej lucah seorang pendakwah

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Komisioner Datuk Seri Abd Jalil Hassan.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan telah membuka satu kertas siasatan terhadap penyebar video dan mesej lucah tular di aplikasi Telegram, yang dikaitkan dengan seorang pendakwah terkenal.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata siasatan dijalankan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan (dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 (penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian).

“PDRM menasihatkan orang ramai agar menjadi pengguna media sosial yang bijak, berhemah dan tidak menggunakan platform terbabit sehingga boleh mendatangkan kegentaran awam serta menggugat keharmonian negara.

“Tindakan tegas tanpa kompromi bakal diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja menggugat ketenteraman serta keselamatan awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, tular tiga buah video di aplikasi Telegram memaparkan wajah mirip pendakwah berkenaan bersama beberapa tangkap layar yang memaparkan perbualan.

— BERNAMA