KUALA LUMPUR – Kerajaan dan agensi berkaitan perlu memberi perhatian serius terhadap penunggang motosikal di negara ini berikutan kumpulan tersebut masih lagi menjadi penyumbang utama kepada kemalangan maut.
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias, penyediaan laluan khusus untuk motosikal di jalan raya harus diberi perhatian sewajarnya dalam usaha menyelamatkan nyawa ribuan penunggang dan pembonceng motosikal.
“Saya masih lagi berpegang bahawa motosikal perlu diberikan perhatian oleh kerajaan dan agensi berkaitan dengan penguatkuasaan jalan raya kerana motosikal ini merupakan penyumbang terbesar di antara 65 hingga 70 peratus kemalangan maut di negara ini.
“Sebelum ini purata kemalangan maut direkodkan antara 16 hingga 15 kes dalam sehari dan kini semakin berkurangan di antara 10 hingga 15 kes dan kita (JSPT) masih lagi berusaha untuk mengurangkan kadar tersebut dengan menjalankan pelbagai operasi
“Kita juga dah sarankan supaya lorong motosikal ini ditambah selain yang sedia ada di Lebuh Raya Persekutuan, tapi bagaimana pula di kawasan lain?,” katanya menerusi sidang media khas JSPT di Menara 1, Bukit Aman hari ini.
Hadir sama, Timbalan Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Mohd Nadzri Hussain.
Jelas Azisman, berdasarkan statistik, sejumlah 274,198 kemalangan direkodkan pada bulan Januari hingga Ogos tahun lalu dan sebanyak 227,599 kes dicatatkan dalam tempoh sama tahun ini dengan penurunan sebanyak 46,599 kes.
“Pecahan kes pula menyaksikan sebanyak 2,134 kes kematian membabitkan motosikal direkodkan dalam tempoh tersebut pada tahun lalu manakala sebanyak 2,075 kes kematian pada tahun ini dengan penurunan sebanyak 59 kes.
“Manakala sebanyak 586 kes kematian melibatkan kereta dicatatkan pada tahun lalu dan 450 kes pula pada tahun ini,” ujarnya.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai masalah kenderaan usang yang masih berlegar di atas jalan raya, Azisman meminta supaya agensi yang berkaitan dapat meneliti isu tersebut.
Beliau menjelaskan, terdapat kira-kira 33 juta kenderaan yang berdaftar di seluruh negara berdasarkan statistik dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“Itu yang berdaftar tapi saya percaya banyak lagi (kenderaan) yang tidak berdaftar misalnya di kawasan-kawasan terpencil memang ramai orang gunakan motosikal sebagai pengangkutan.
“Oleh sebab itu kena ada satu polisi, kementerian berkaitan perlu keluarkan supaya kita dapat hindar kenderaan usang ini terus berada di atas jalan raya kerana ia bukan sahaja tidak selamat kepada pemandu malah turut mengancam nyawa pengguna jalan raya yang lain.
“Kalau tanya (polis) kita memang tidak mahu kenderaan sebegini berada di atas jalan raya yang mungkin menjadi penyebab kepada kemalangan jalan raya,” katanya. – MalaysiaGazette