Home Nasional Bekas banduan dipenjara kali ketiga hina Agong

Bekas banduan dipenjara kali ketiga hina Agong

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang bekas banduan yang tidak pernah serik keluar masuk penjara kerana menghina Yang di-Pertuan Agong (YDPA) di media sosial, dipenjara setahun dan denda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas kesalahan sama.

Hakim M.M Edwin Paramjothy menjatuhkan hukuman itu terhadap Sharil Mohd Sarif, 38, selaku Orang Kena Saman (OKS), selepas lelaki itu menukar pengakuan kepada bersalah ketika sebutan kes berkenaan hari ini.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada 24 Ogos lepas dan akan dipenjara enam bulan lagi, jika gagal membayar denda.

Tertuduh turut didenda RM1,000, jika gagal bayar dipenjara tiga bulan selepas mahkamah mengguna pakai proviso kes tersebut di bawah Seksyen 233 (3) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (di mana setiap kesalahan selepas pensabitan OKS boleh didenda RM1,000).

Edwin ketika menjatuhkan hukuman berkata OKS telah melampaui batas dan tindakannya menghina Agong, melanggar kebebasan bersuara yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“OKS langsung tidak serik, walaupun mahkamah telah memberi beberapa kali peluang tetap mengulangi kesilapan sama,” kata Edwin.

Sharil didakwa telah membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik sifatnya terhadap YDPA dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain, melalui aplikasi Twitter menggunakan nama profil ‘Sharil bin Mohd Sarif’ pada 7.43 pagi, 20 April 2021.

Pautan itu kemudian dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Wangsa Maju, di sini, pada 1.30 petang, 20 April lepas.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233 (3) akta sama, yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya dan hendaklah juga didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Ketika rayuan, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman berbentuk pemenjaraan bermula dari tarikh tangkap atas alasan dia mempunyai tiga anak yang masih bersekolah dan isterinya sudah meninggal dunia, Jun lepas.

Timbalan Pendakwa Raya Najihah Farhana Che Awang memohon hukuman berat kerana sebelum ini, tertuduh pernah dihukum penjara dua kali atas kesalahan sama.

“OKS tidak menunjukkan kekesalan walaupun telah dipenjara sebelum ini, kesemua kesalahan adalah sama yang bersifat jelik dan menyakitkan hati.

“Hukuman-hukuman yang dijatuhkan tidak mendatangkan keinsafan kepada OKS. Mohon hukuman lebih berat supaya memberi pengajaran kepada tertuduh dan orang awam,” katanya.

Sebelum ini, tertuduh pernah dipenjara dua bulan pada 2019 dan 10 bulan pada tahun lalu oleh mahkamah sama atas kesalahan serupa.

— BERNAMA