Home Ekonomi MEDAC tubuh jawatankuasa selaraskan 11 agensi

MEDAC tubuh jawatankuasa selaraskan 11 agensi

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar
Noh Omar

KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) menubuhkan satu jawatakuasa bagi menyelaraskan fungsi 11 agensi-agensi di bawahnya.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, langkah ini perlu agar sebarang geran yang akan diberikan dapat diselaraskan kepada golongan usahawan.

“Kementerian ada 11 agensi masing-masing ada program mereka sendiri dan peruntukan mereka sendiri. Sebagai contoh proses digitalisasi semua agensi ada program mereka termasuk koperasi.

“Koperasi sahaja ada beratus produk, Tekun pun ada beratus produk, jadi saya minta semua agensi ini duduk semeja dan bincang dalam jawatakuasa itu.

“Kalau Lazada boleh buat, takkan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi tidak boleh buat, ini amanah kepada kementerian di mana produk ini dibuat betul-betul di bawah MEDAC, supaya dapat kita selaraskan,” katanya selepas menghadiri Mesyuarat Dwitahunan Perwakilan Dewan Perdagangan dan Industri ASEAN (DPIA), secara maya hari ini.

Jawatankuasa itu katanya akan dipengerusikan oleh wakil daripada kementerian supaya ia boleh diselaraskan.

“Saya ada pengalaman uruskan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, kita tahu bahawa ia pernah ditutup dan dibuka semula.

“Dulu MARA dan Bank Pembangunan di bawah kementerian tapi sekarang ke kementerian lain. Jadi kita kena tubuh jawatankuasa penyelarasan,” jelas beliau lagi.

Mengulas lanjut, Noh menambah, agensi di bawah MEDAC mempunyai produk masing-masing dan tugas utama jawatankuasa itu adalah untuk menyelaraskan kesemua produk ini.

“Masing-masing ada produk dalam talian, kita ada geran.

“SME Corp juga ada geran malah ada agensi lain juga ada geran, jadi saya nak selaraskan supaya dapat selaraskan dari segi geran.

“Macam PUNB mereka ada geran untuk bantu usahawan ekport produk mereka dengan maksimum RM500,000. SME Bank pun ada geram RM200,000,” katanya lagi.

Dalam pada itu, pemangku Presiden Dewan Perdagangan dan Industri Asean (DPIA), Datuk Sohaimi Shahadan menang tanpa bertanding bagi jawatan presiden, hari ini.

Beliau memangku jawatan presiden selama dua tahun.

Presiden Persekutuan Persatuan Perniagaan Malaysia (FMBA), Datuk Malik Abdullah pula dipilih Timbalan Presiden 1 DPIA, dan Datuk Lokman Hakim Pfordten sebagai Timbalan Presiden 2. – MalaysiaGazette