Home Nasional IPTA ada kepakaran salur bantuan teknikal kepada komuniti

IPTA ada kepakaran salur bantuan teknikal kepada komuniti

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad hadir pada Program Libatsama Misi Bantuan Pasca Bencana Yan UTM Techmission 2021 di Kampung Bukit Tumboh,Yan, Kedah. Foto AFFAN FAUZI, 25 SEPTEMBER 2021.

YAN – Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di negara ini mempunyai kepakaran untuk membantu dan menyalurkan bantuan teknikal yang berasaskan teknologi kepada komuniti yang memerlukan.

Ia terbukti apabila Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menjadi penaung TechMission 2021 dalam memastikan penduduk di beberapa kampung sekitar daerah itu yang terjejas akibat fenomena kepala air pada Ogos lalu, mendapatkan semula bekalan air bersih.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, peranan universiti awam bukan saja melahirkan tenaga kerja mahir dalam pelbagai bidang malah, bertanggungjawab menyumbang ilmu dan kepakaran mereka dalam pembangunan komuniti setempat.

Jelas beliau, hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang dilakukan itu juga perlu memberi manfaat dalam membantu menyelesaikan masalah masyarakat di tempat tersebut ataupun setempat.

“Alhamdulillah banyak yang telah dilaksanakan oleh pihak Kementerian Pengajian Tinggi dan antaranya kita dapat lihat hari ini yang dikelolakan oleh UTM menerusi TechMission 2021 di Yan ini.

“Projek pemasangan air paip ini dilaksanakan bertujuan untuk membantu meringankan beban penduduk di Kampung Setol untuk mendapatkan bekalan air bersih susulan terjejas daripada bencana kepala air baru-baru ini,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu Noraini meninjau pelaksanaan projek pemasangan paip air polimer sepanjang 4,000 meter bagi saluran membekalkan air bersih kepada 500 buah keluarga yang terjejas.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air serta Tenaga negeri Kedah, Datuk Suraya Yaacob dan Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Dr. Ahmad Fauzi Ismail.

Noraini Ahmad beramah mesra dengan penduduk selepas Program Libatsama Misi Bantuan Pasca Bencana Yan UTM Techmission 2021 di Kampung Bukit Tumboh,Yan, Kedah. Foto AFFAN FAUZI, 25 SEPTEMBER 2021.

Mengulas lanjut, Noraini berkata, program seumpama ini tepat dan wajar dijadikan teladan kerana ia mampu memperluaskan peranan universiti dalam penyebaran ilmu dan maklumat bagi membantu pembangunan industri sekali gus meningkatkan taraf hidup masyarakat.

“Selain itu, program ini juga dilihat dapat memberikan pendedahan kepada mahasiswa mengenai  aktiviti sukarelawan disamping mendekatkan akademia dgn komuniti luar bandar,” kata beliau.

Misi pemasangan paip air itu dilakukan selama lima hari  bermula 20 September lalu membabitkan 80 sukarelawan yang terdiri daripada gabungan staf dari pelbagai PTJ dan pelajar UTM Kuala Lumpur. – MalaysiaGazette