Home Nasional AUKUS: Minta menteri pertahanan kaji semula pendirian

AUKUS: Minta menteri pertahanan kaji semula pendirian

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan digesa mengkaji semula pendirian berhubung kenyataan lawatan kerja ke China dalam isu perjanjian Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat (AUKUS).

Kelab Jaringan Naib-Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia (KAGUM) menyifatkan kenyataan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein amat membimbangkan kerana lawatan ke China itu amat tidak wajar memandangkan perjanjian AUKUS hanya melibatkan pembinaan enam kapal selam yang dijana kuasa nuklear.

Sedangkan China sudah pun meletakkan hingga 12 kapal selam nuklear di Laut China Selatan termasuk kawasan yang didakwa memiliki tuntutan bertindih dengan Malaysia.

”Ketegasan menteri pertahanan diperlukan dalam menangani situasi ini dan pandangan Malaysia yang tidak menampakkan sikap berkecuali yang sudah menjadi teras kepada keharmonian Malaysia dilihat cuai dan tidak bertanggungjawab.

”Kami menggesa Kementerian Pertahanan agar mengkaji semula pendirian yang menghantar signal yang salah ini,” kata Setiausaha KAGUM, Iszuwan Ismail.

Menurutnya, sekiranya keadaan ini dibiarkan berterusan, rakyat merasa bimbang akan kedudukan Malaysia sebagai negara berkecuali lebih lebih lagi pada ulang tahun ke-47 hubungan Malaysia-China, pesawat jet pejuang China dikesan menceroboh ruang udara Sarawak.

Keselamatan rakyat Sabah dan Sarawak serta hak Malaysia di Laut China Selatan wajar dipertahankan.

Justeru, pimpinan KAGUM menggesa agar Menteri Pertahanan mengkaji semula pendirian beliau dan perlu lebih berhati-hati mengeluarkan kenyataan kerana Malaysia tidak sewajarnya mengulangi kesilapan diplomatik lampau sewaktu pentadbiran Pakatan Harapan. – MalaysiaGazette