KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa meminta penggiat seni termasuk artis supaya tidak bersifat mementingkan diri sendiri dan enggan mengambil suntikan vaksin COVID-19 kerana kerjaya mereka melibatkan pergaulan dengan ramai pihak.
Beliau berkata, perbuatan seperti itu mungkin boleh memuaskan hati sendiri tetapi membahayakan orang lain serta tidak adil kepada mereka yang telah bersusah payah mengambil vaksin.
“Nasihat saya kepada semua, tidak kira siapa, kita mesti lihat apa yang sedang berlaku secara global iaitu bahawasanya jalan yang baik dan selamat adalah dengan mengambil vaksin.
“Memang kerajaan tidak boleh paksa tetapi kerajaan menyediakan kemudahan dan diberi percuma. Jadi saya berharap mereka yang melibatkan diri dalam aktiviti melibatkan orang lain turut mengambil kira keselamatan dan juga perasaan orang lain,” katanya.
Annuar berkata demikian kepada pemberita selepas melawat lokasi penggambaran telemovie ‘Cikgu vs Hantu’ di Dewan Seri Temuan, Damansara Perdana di sini hari ini ketika mengulas tindakan segelintir artis yang enggan menerima vaksin sehingga mengundang rasa kurang senang penggiat seni lain yang sudah berbuat demikian.
Beliau juga gembira melihat aktiviti seni seperti penggambaran kembali aktif selepas kerajaan memberi kelonggaran untuk industri itu beroperasi semula pada 7 September lepas.
“Berdasarkan pemerhatian tadi, saya tidak nampak sebarang perkara yang membimbangkan kerana proses penggambaran dilaksanakan mengikut SOP (prosedur operasi standard) dan harap ia diteruskan.
“Saya juga diberitahu bahawa terdapat lebih 100 penerbit sudah memohon permit penggambaran daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan ertinya industri ini sudah bergerak semula dan keputusan kita membenarkan penggambaran adalah betul,” katanya.
Ditanya apa yang boleh diharapkan oleh rakyat menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang dibentang Isnin ini, Annuar berkata, ia akan menjadi pemangkin untuk kerajaan menjayakan pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) sebaik-baiknya bagi memulihkan ekonomi negara.
“RMK12 bakal menggariskan rancangan semua kementerian bagi menjayakan PPN yang secara umumnya terkait dengan Covid-19.
“Program yang diatur ini adalah pemangkin yang mesti digerakkan supaya ia (RMK12) bukan hanya mengenai soal pengumuman malah turut menunjukkan betapa perlunya satu pelaksanaan menyeluruh dan bersungguh-sungguh supaya ekonomi kita kembali normal dan melonjak ke tahap lebih tinggi,” katanya. – Bernama