Home Utama Sarawak mula beri dos penggalak Oktober – Khairy

Sarawak mula beri dos penggalak Oktober – Khairy

Khairy Jamaluddin

KUCHING – Sarawak akan memulakan pemberian dos penggalak vaksin COVID-19 pada bulan Oktober ini sekali gus menjadi negeri pertama yang memulakan inisiatif berkenaan, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan (KKM) sedang menyediakan garis panduan klinikal mengenai pelaksanaan pemberian dos penggalak vaksin COVID-19 itu, dan ia akan memberi fokus kepada golongan berisiko tinggi berusia 60 tahun ke atas, serta mereka yang mempunyai komorbid serius.

Menurutnya Sarawak akan menjadi negeri pertama memulakan program pemberian dos penggalak vaksin itu kerana ia merupakan negeri terawal menyelesaikan program vaksinasi.

“Antara yang akan kita sediakan dalam garis panduan klinikal itu nanti adalah berkenaan jenis vaksin yang akan diberikan. Kita masih menilai sama ada mahu beri jenis vaksin sama atau yang berbeza,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri mesyuarat khas Imunisasi dan pengurusan pandemik bersama wakil kerajaan negeri di Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini.

Sementara itu Khairy berkata di Sarawak, KKM berpendapat bahawa keputusan positif daripada kit ujian RTK Antigen, sama ada dibuat di makmal ataupun secara kendiri, adalah cukup untuk mereka yang dikesan positif diasingkan serta diberikan Perintah Pemantauan di Rumah.

“Ini sangat penting untuk kita maklum kepada rakyat terutamanya di Sarawak, apabila ada apa-apa gejala, secepat mungkin laksanakan ujian RTK Antigen dan jika positif, asingkan diri di rumah atau di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC),” katanya.

Beliau berkata dalam aspek meningkatkan kapasiti kesihatan untuk tindak balas sekiranya berlaku peningkatan kes-kes yang serius, KKM akan menghantar sejumlah 118 unit ventilator dan 1,008 silinder oksigen ke Sarawak, yang dijangka tiba pada Selasa ini.

“KKM juga akan menambah modular Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan penambahan sebanyak 20 katil. Ketika ini 10 katil sedang disiapkan di Hospital Sibu dan kita serah kepada kerajaan negeri untuk tetapkan di mana mereka mahu menempatkan penambahan katil baharu itu,” katanya.

Khairy berkata pihaknya turut menerima permohonan daripada Kerajaan Sarawak untuk mendirikan Hospital Medan di Sibu dan secara prinsip pihaknya telah bersetuju serta akan berbincang dengan Angkatan Tentera Malaysia mengenainya.

Selain itu katanya 64 pegawai perubatan tambahan akan diatur gerak pada minggu depan untuk dihantar ke Sarawak bagi membantu pengurusan kes COVID-19.

Sementara itu Khairy berkata pihaknya juga akan mempercepatkan pembukaan Hospital Sri Aman, sekali gus mengurangkan bebanan di Hospital Umum Sarawak di Kuching.

— BERNAMA