Home Ekonomi Pelabur asing beli ekuiti tempatan RM15.85 juta minggu lalu

Pelabur asing beli ekuiti tempatan RM15.85 juta minggu lalu

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pelabur asing kekal sebagai pembeli bersih untuk minggu yang berakhir pada 24 September, yang menyaksikan aliran masuk bersih berjumlah RM15.85 juta.

Ini adalah minggu ketujuh berturut-turut pembelian bersih oleh pelabur asing, kata MIDF Research.

Ketika pasaran dibuka semula pada hari Isnin lalu, pelabur asing dan institusi tempatan adalah penjual bersih masing-masing berjumlah RM120.77 juta dan RM17.88 juta.

Sementara pelabur runcit pula adalah pembeli bersih bernilai RM138.65 juta.

Pelabur asing adalah pembeli bersih untuk sepanjang minggu kecuali pada hari Isnin dan Jumaat.

Firma penyelidikan itu berkata, aliran masuk asing terbesar direkodkan ada hari Khamis dengan aliran masuk terkecil pada hari Rabu masing-masing kepada RM117.45 juta dan RM25.32 juta.

Pelabur runcit adalah pembeli bersih setiap hari dalam seminggu kecuali pada hari Khamis.

Manakala pembelian bersih terbesar oleh pelabur runcit dicatatkan pada hari Isnin dan pembelian bersih terkecil pada hari Rabu masing-masing berjumlah RM138.65 juta dan RM2.79 juta.

Secara kumulatif, pelabur runcit membeli sebanyak RM242.78 juta ekuiti di Bursa Malaysia.

Pelabur institusi pula merekodkan jualan bersih kumulatif sebanyak RM258.64 juta.

Institusi tempatan adalah penjual bersih setiap hari dalam seminggu kecuali pada hari Jumaat dengan jualan bersih terbesar pada hari Selasa sebanyak RM159.90 juta, sementara aliran masuk hanya pada hari Jumaat berjumlah RM51.02 juta.

Sejak awal 2021, secara kumulatif, pelabur runcit menjadi satu-satunya pembeli bersih pasaran ekuiti iaitu RM10.28 bilion.

MIDF Research menambah, institusi tempatan dan pelabur asing pula adalah penjual bersih masing-masing sebanyak RM6.64 bilion dan RM3.64 bilion.

Dari segi penyertaan, pelabur runcit, institusi tempatan dan pelabur asing mencatat pergerakan nilai dagangan purata harian (ADTV) mingguan masing-masing sebanyak 7.77%, 13.73% dan 31.26%. – MalaysiaGazette