Home Nasional Ada sektor gulung tikar kalau tidak ambil pekerja asing – Saravanan

Ada sektor gulung tikar kalau tidak ambil pekerja asing – Saravanan

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan semasa mengadakan Sesi Libat Urus Keperluan Penggajian Pekerja Asing bersama Persatuan Majikan, Industri dan Pekerja di Wisma HRD Corp, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 27 SEPTEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Semua keluhan dan cadangan yang disuarakan Persatuan Majikan, Industri dan Pekerja hari ini dalam Sesi Libat Urus Keperluan Penggajian Pekerja Asing akan dibawa ke peringkat Kabinet untuk diperhalusi dan dimuktamadkan.

Menteri Sumber Manusia Datuk Ser M Saravanan berkata, hasil pertemuan kira-kira dua jam dengan pihak industri yang terlibat khususnya pengusaha, beliau mendapati ada sektor tertentu berhadapan risiko gulung tikar sekiranya tidak menggaji pekerja asing.

Keadaan itu dialami khususnya bagi sektor perladangan dan pertanian kerana majoriti warga tempatan tidak berminat  memenuhi peluang pekerjaan yang ada.

Katanya, beliau juga dimaklumkan oleh sektor pembersihan bahawa mereka memerlukan 68,000 pekerja asing untuk terus beroperasi.

“Mereka kata sama ada mereka gulung tikar atau kerajaan bantu.  Saya dari segi dasar akan meneliti permintaan mereka dan bawa ke Kabinet.

“Kedua, satu lagi contoh sektor pembersihan mereka perlukan 68,000 pekerja asing sebab warga tempatan tidak mahu ambil tawaran ini

“Walaupun setelah diiklankan menerusi MyFutureJob di bawah kerajaan, kita dalam dalam dilema kerana memang hasrat kerajaan supaya peluang pekerjaan disalurkan kepada warga tempatan.

“Saya harap kita cari satu penyelesaian. Saya kena sampaikan hasrat mereka kepada Kabinet untuk dibuat keputusan,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan sektor terbabit hari ini.

Menurut Saravanan, kerajaan sedang berusaha mengimbangkan antara langkah mengurangkan pekerja asing dan tuntutan mendesak sektor tertentu yang memerlukan tenaga kerja luar.

“Apabila kerajaan benarkan pengambilan pekerja asing persepsinya memang buruk, orang akan tuduh macam-macam tapi dalam keadaan sekarang adalah sama ada kita benarkan pengambilan pekerja asing atau ada pengusaha sektor tertentu gulung tikar.

“Contohnya persatuan minyak sawit kata mereka rugi berbilion sebab tidak ada pekerja,” katanya lagi.-MalaysiaGazette