KUALA LUMPUR – Sikap diskriminasi majikan terhadap pekerja wanita masih wujud khususnya dalam isu penetapan gaji dan perjawatan teknikal atau professional di negara ini.
Ketua Wanita UMNO Bahagian Kota Melaka, Datuk Haryaty Hamdzah berkata, perkara itu amat menyedihkan apabila pada era teknologi serba maju ini masih lagi wujud pihak yang mempunyai minda kelas ketiga seperti itu.
“Kerajaan harus memantau sikap diskriminasi sesetengah majikan terhadap isu gaji golongan wanita.
“Saya berharap agar satu usaha dan tindakan yang komprehensif daripada pihak kerajaan dapat dilakukan bagi mengekang isu ini yang menjadi amalan tidak sihat majikan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelasnya, kebolehan dan kemampuan wanita di negara ini telah terbukti selari, malah ada yang mampu menjalankan tugas yang lebih baik.
“Cadangan kerajaan untuk memperkasakan penglibatan wanita dalam pembangunan ekonomi menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dilihat sangat baik.
“Wanita turut diberi peranan membuat keputusan dengan penyertaan dalam pasaran kerja disasarkan mencapai 59 peratus pada tahun 2025.
“Pelan perancangan untuk meningkatkan pembangunan ekonomi usahawan wanita juga dilihat sebagai pengiktirafan dan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuhkan penglibatan dan peranan golongan wanita dalam pembangunan ekonomi negara,” katanya.
Katanya lagi, pembentangan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu bersifat inklusif dan mampan selari dengan matlamat kerajaan ‘Keluarga Malaysia.
RMK-12 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini memperkenalkan beberapa pembaharuan bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan dengan pengagihan peluang dan hasil yang lebih saksama. – MalaysiaGazette