KUALA LUMPUR – Kredibiliti dan populariti penyampai radio Suria FM, DJ Lin selama 22 tahun di dalam industri radio di negara ini tidak boleh disangkal lagi apabila dia terus mendapat pengiktirafan orang ramai.
Menambah koleksi anugerah yang kelapan buatnya baru-baru ini, DJ Lin atau nama sebenarnya Roslinda Abdul Majid telah dinobatkan sebagai salah seorang pemenang Anugerah Jenama Paling Dipercayai anjuran majalah antarabangsa Reader’s Digest hasil undian peminat di Malaysia.
Sebelum ini, dia turut memenangi beberapa anugerah besar antaranya Anugerah Sri Angkasa (kategori Penyampai Radio Terbaik) sebanyak tiga kali.
Anugerah lain termasuk Anugerah Penyampai Radio Paling Popular Berita Harian (ABPBH) sebanyak tiga kali dan Anugerah Kesatria Puteri (Industri Radio) Himpunan Wanita Muda Negara 2012.
“Sejujurnya saya tidak pernah bermimpi kerana apabila melangkah dalam industri radio, saya tidak pernah meletakkan sasaran utama untuk memenangi anugerah sebagai kayu pengukur.
“Bagi saya, anugerah adalah amanah daripada Allah SWT dan ia perlu dibalas semula sebagai manusia untuk buat yang terbaik selagi kita boleh.
“Cuma tidak sangka dalam tempoh 22 tahun, bakat, sumbangan dan kredibiliti saya dihargai oleh semua pihak. Dengan lapan anugerah yang saya menang, ia adalah bonus dan bukan untuk saya seorang tetapi terutamanya untuk stesen radio Suria FM dan milik bersama peminat dan pendengar,” katanya ketika ditemubual MalaysiaGazette di sini baru-baru ini.
Ditanya apa kriteria utama untuk menjadi penyampai radio, DJ Lin mengakui bidang itu memerlukan individu yang mempunyai minat yang tinggi selain suara yang sedap didengar.
Kata wanita berusia 45 tahun itu, minat yang tinggi diperlukan selain semangat untuk menaikkan nama stesen radio yang dinaungi dalam industri radio.
“Menjadi penyampai radio juga memerlukan jiwa dengan penuh minat dan bukan berorientasikan populariti atau kejar anugerah semara-mata.
“Bagi saya, paling utama kena berusaha memartabatkan dunia radio secara serius dan harus setia kalau boleh dari waktu ditubuhkan dan tiada apa-apa sampai stesen itu berada di puncak.
“Selain itu, menjadi penyampai radio memerlukan suara yang sedap di dengar kerana sebab radio adalah audio dan pada masa sama memiliki disiplin yang tinggi kerana dunia radio tidak memerlukan mereka yang memberi masalah,” katanya membuka bicara.
DJ Lin yang merupakan lulusan Universiti Teknologi Mara dalam Sarjana Muda Komunikasi Massa (Kewartawan) turut berkongsi rahsia bagaimana dia dapat bertahan selama 22 tahun.
Jelasnya, mungkin cara dia membawa diri dalam industri yang lembut berbicara dan menghormati orang ramai termasuk rakan media dan peminat selain berpendapat seseorang penyampai radio itu perlu memiliki aura.
“Bagi saya, peminat dan pendengar adalah anugerah dan saya sangat menjaga perhubungan yang amat baik dan cuba berinteraksi dengan mereka dan membalas semua mesej atau komen yang dihantar di media sosial,” katanya.
Wanita kelahiran Johor Baharu ini turut mengakui dia tidak pernah mempunyai cita-cita menjadi penyampai radio sejak kecil, sebaliknya hendak menjadi anggota polis.
Namun ibu tunggal kepada dua anak itu berkata, hasrat tersebut tidak tercapai dan ditakdir menjadi penyampai radio sejak 1999.
“Saya tidak pernah rancang jadi penyampai radio dan ini adalah aturan dalam kehidupan saya.
“Dan saya bersyukur kerana ia ada hikmah kerana kerja ini bukan pilihan utama dan selepas menyertai dunia radio, banyak keistimewaan yang saya diperolehi,” katanya tersenyum.
Mengakhir perbualan, DJ Lin berkata, sebagai manusia biasa, penyampai radio juga memiliki masalah namun pada masa sama perlu berdepan masalah pendengar apabila berada di dalam konti.
Ujar beliau, situasi itu juga adalah kriteria menjadi seorang penyampai radio yang baik dan profesional yang tidak mencampur aduk masalah peribadi dan tanggungjawab di tempat kerja.
“Bila kita masuk ke studio, kita perlu tinggalkan semua masalah yang ada sama ada bergaduh dengan pasangan dan sesiapa sahaja.
“Penyampai radio kena bawa diri sebagai penghibur demi ribuan atau jutaan pendengar yang hendak dengar suara kita dan temani malam mereka seperti segmen Suara Cinta,” katanya berterus-terang.
Bagi yang ingin mendengar suara romantis DJ Lin, pastikan mendengar Suria Cinta setiap hari Ahad hingga Jumaat pukul 8.00 malam hingga 1.00 pagi di frekuensi Suria FM atau menerusi aplikasi terbaharu Suria Malaysia. – MalaysiaGazette