Home Nasional Kerapu gergasi ‘keratang’ seberat 160kg ditangkap perairan Labuan

Kerapu gergasi ‘keratang’ seberat 160kg ditangkap perairan Labuan

LABUAN – Ikan kerapu gergasi atau dikenali oleh penduduk tempatan sebagai “keratang” seberat 160 kilogram (kg) berjaya ditangkap di sini, dan dijual dengan harga RM8,000 kepada sebuah restoran makanan laut, Fishermen Harbour Restaurant di Paragon, semalam.

Dullah Latif, 64, berkata, beliau mengarahkan pekerjanya ke perairan Marine Farms (kira-kira 100 batu nautika dari Labuan) untuk memancing pagi Sabtu, apabila mereka dikejutkan dengan kemunculan ikan gergasi itu, Ahad.

“Selepas lebih 30 minit ‘bergelut’ dengan joran, akhirnya barulah kelibat ikan itu kelihatan di permukaan, dan sebaik sahaja mereka nampak (ikan), mereka menjerit kegembiraan, dan mulanya mereka tidak sedar betapa sukar untuk membawa ikan itu naik… tiga orang diperlukan untuk menaikkan ikan itu ke dalam bot,” katanya.

Kerapu yang ditangkap itu berukuran lebih dari tujuh kaki (2.1 meter) panjang.

Dullah berkata, ini bukan kali pertama beliau mendapat ‘habuan besar’, kerana menurutnya pada bulan Februari 2019, beliau pernah menangkap ikan seberat 241 kg, yang dijual pada harga RM13,225, dan diikuti dengan tangkapan seberat 165kg dan 135kg.

Menurut nelayan tempatan, ikan gergasi dari keluarga kerapu itu boleh hidup 30 hingga 50 tahun.

Pemilik Fishermen Harbour, Dylan Chua berkata, ikan itu akan dihiris kecil dan dimasukkan ke dalam mi sup mereka yang cukup terkenal, direbus dengan sos coklat dan diadun dengan cendawan.

“Ikan itu juga boleh digunakan untuk menu popular kami – digoreng dengan halia dan daun bawang dan digoreng dengan sos kacang hitam,” katanya. – Bernama