Home Dunia Thailand: Pelancong lengkap vaksin COVID-19 dikecualikan kuarantin mulai November

Thailand: Pelancong lengkap vaksin COVID-19 dikecualikan kuarantin mulai November

Bangkok

BANGKOK – Bermula 1 November, pelancong dan pengembara lengkap vaksin COVID-19 yang mengunjungi Bangkok dan sembilan wilayah di Thailand dikecualikan menjalani kuarantin wajib dua minggu.

Pengecualian merangkumi destinasi pelancongan seperti Krabi, Chiang Mai, Koh Phangnga, Pattaya, Bang Lamung, Jomtien dan Bang Sare di Chonburi, Hua Hin (Prachuap Khiri Khan) dan Koh Phayam (Ranong).

Langkah terbaharu itu bertujuan menghidupkan kembali industri pelancongan Thailand yang terjejas akibat COVID-19.

Ia susulan pengumuman, bermula 1 Oktober Thailand akan mengurangkan tempoh kuarantin 14 hari kepada tujuh hari untuk pelawat lengkap divaksin, manakala pelancong belum divasin yang tiba melalui pengangkutan udara dikenakan 10 hari kuarantin dan mereka menggunaka laluan darat menjalani 14 hari kuarantin.

Perdana Menteri, Prayuth Chan o-cha yang mempengerusikan mesyuarat Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) hari ini meluluskan langkah-langkah tersebut.

Pada sidang media, jurucakap CCSA Dr Taweesin Visanuyothin berkata, berkuat kuasa 1 Oktober, Bangkok dan 28 wilayah di kawasan “zon merah gelap” akan menyaksikan pembukaan semula lebih banyak perniagaan dan perkhidmatan.

“Ia termasuk pawagam, spa, perpustakaan, salun kecantikan dan klinik, ruang tatu, salun kuku dan tempat sukan. Perintah berkurung waktu malam akan dikurangkan sejam iaitu dari 10 malam hingga 4 pagi,” katanya.

Taweesin berkata, perintah darurat akan dilanjutkan hingga 30 November dan sedang menunggu kelulusan kabinet.

Susulan kejayaan “Phuket Sandbox” dan “Samui Plus” yang dilancarkan pada Julai, Thailand yang bergantung kepada pelancongan berusaha membuka kembali lebih banyak destinasi pelancongan terkenal kepada pelancong lengkap divaksin.

Pada 2019, Thailand menarik hampir 40 juta pengunjung dan jumlahnya merosot kepada 6.7 juta tahun lalu.

Terdahulu, pelan awal Thailand untuk membuka kembali Bangkok pada 1 Oktober mungkin akan ditunda berikutan kegagalan memenuhi sasaran 70 peratus populasi dewasa lengkap divaksin.

Terkini, Thailand telah memberikan 50.56 juta dos vaksin COVID-19 sejak kempen vaksinasi bermula 28 Februari lalu.

Sementara itu, Taweesin berkata, Thailand akan memperoleh 2.79 juta dos vaksin Pfizer-BioNTech, 165,000 dos AstraZeneca dari Sepanyol dan 400,000 dos AstraZeneca dari Hungary.

Dalam tempoh 24 jam lalu, Thailand mencatatkan 10,288 kes baharu COVID-19 baharu dan 101 kematian. Jumlah keseluruhan kes di negara ini adalah sebanyak 1,571,926 kes dan 16,369 kematian. – Bernama