Home Nasional Peruntukkan geran Tabung Covid-19 kepada peminjam AIM

Peruntukkan geran Tabung Covid-19 kepada peminjam AIM

Armin Baniaz Pahamin (tengah)

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa untuk memperuntukkan sejumlah wang Tabung COVID-19 sebagai geran untuk membantu peniaga-peniaga kecil yang meminjam daripada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

Ini kerana bantuan-bantuan yang sedia ada tidak akan dapat membantu peniaga kecil untuk kembali beroperasi selepas penutupan operasi yang agak lama dan geran yang dicadangkan adalah amat penting untuk pemulihan operasi peniaga-peniaga kecil.

Pengerusi Biro Ekonomi Pusat Parti Pejuang Tanahair, Armin Baniaz Pahamin berkata, lebih 90% peminjam terdiri dalam kalangan Bumiputera serta suri rumah dan mereka mula membayar semula ansuran pinjaman bermula pada 1 September 2021.

Sedangkan peniaga mikro ini menyara kehidupan seisi keluarga dengan mengusahakan perniagaan kecil dari pinjaman yang diperolehi melalui AIM.

Hasil dari perniagaan tersebut, mereka membayar ansuran pinjaman dan bakinya digunakan untuk menampung perbelanjaan harian keluarga.

”Kami amat prihatin dan risau terhadap masa depan 378,507 peminjam kredit mikro di bawah Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang tidak dapat beroperasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKPD sepanjang pandemik.

“Malah, peniaga-peniaga mikro ini amat bertanggungjawab terhadap pembayaran balik pinjaman dan ini terbukti dengan rekod kegagalan bayar balik pinjaman kurang dari 2% sebelum pandemik.

”Rekod ini merupakan prestasi yang lebih baik daripada rekod kadar kegagalan bayar balik pinjaman bank,” katanya dalam kenyataan di sini.

Armin menambah, walaupun berbagai-bagai bantuan telah disalurkan oleh AIM seperti moratorium automatik selama 16 minggu semasa PKP 1.0 dilaksanakan, penangguhan bersasar sehingga Oktober 2020 yang membabitkan 12,568 peminjam dan semasa gelombang ketiga COVID-19, moratorium automatik dilanjutkan sehingga Ogos 2021 namun, kelangsungan perniagaan mereka masih tergugat.

Bantuan-bantuan tersebut hanyalah penangguhan pinjaman tetapi peniaga kecil memerlukan suntikan modal untuk kembali beroperasi.

Tanpa geran untuk peminjam AIM, Pejuang khuatir ramai peniaga mikro ini akan tergolong dalam kategori kegagalan bayar balik pinjaman dan berkemungkinan bankrap dan menjejas masa depan mereka. – MalaysiaGazette