KUALA LUMPUR – Semangat patriotik dan sambutan kemerdekaan dalam kalangan penduduk negara ini sudah tidak lagi berkobar seperti dahulu.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M. Saravanan mendakwa semangat patriotik dalam kalangan generasi semasa ditenggelami arus pembangunan yang menjurus kepada sifat materialistik.
“Dulu kita tak perlu tungkus lumus beri bendera percuma, seawal Julai kita sudah boleh nampak setiap warganegara Malaysia beli bendera dan hias rumah dalam pelbagai bentuk untuk luahkan semangat patriotik.
“Sekarang mereka sudah sibuk mengejar dunia moden, sekali gus melahirkan generasi yang tidak tahu menghargai kemerdekaan langsung.
“Mereka sudah lupa bahawa hanya disebabkan perjuangan dan pengorbanan tokoh kitalah, dapat menikmati kehidupan aman dan selesa hari ini,” tambah beliau.
Dalam usaha mengubah senario itu, pengagihan bendera secara agresif dalam kalangan masyarakat digerakkan di peringkat kerajaan, agensi dan jabatan-jabatan dibawahnya.
Katanya, pemberian jalur gemilang kepada orang awam, peniaga dan generasi muda merupakan pendekatan yang mampu mengubah minda, sekali gus menyedarkan betapa pentingnya menghayati kemerdekaan tanah air.
“Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk terus menghargai pengorbanan dan titisan darah yang ditumpah supaya tidak menjadi sia-sia.
“Ibubapa kita lahir di sini dan begitu juga dengan kita dan generasi akan datang. Kemerdekaan itu harus terus dipelihara, malah saya dapat melihat perubahan pemuda mula mengakui kesilapan dan menyedari kepentingan kemerdekaan,” katanya.
Justeru Ketua Pemuda MIC, C. Sivarraajh yang sependapat dengan Saravanan menjelaskan, MIC terutama pergerakan Pemudanya telah memulakan program pemberian jalur gemilang sejak seminggu lalu di seluruh negara.
“Setakat ini lebih 10,000 Jalur Gemilang telah diedarkan kepada orang awam, peniaga dan sebagainya di sekitar Brickfields hari ini.
“Saya percaya inisiatif kami akan kembali membangkitkan semula suasana kegemilangan sambutan Merdeka yang pernah kita selami dalam kalangan generasi sekarang,” jelasnya.
Katanya, semangat patriotik negara perlu bermula daripada ibu bapa dan guru di sekolah untuk memastikan generasi sekarang menyedari darah yang dikorbankan tokoh merdeka untuk kesejahteraan rakyat.
“Dulu ibu bapa kami sudah mengajar cara menghargai kemerdekaan dan menghayati semangat patriotisme dengan membeli Jalur Gemilang dan menghias rumah mengikut cara unik.
“Ini yang perlu dikembalikan dalam kalangan pemuda kita supaya mereka menyedari pentingnya semangat kemerdekaan.
“Ini tanahair kita, dan memberikan identiti sebagai anak Malaysia, maka kita perlu menghormati dan menghayati perjuangan tokoh, sekali gus menunjukkan kepada dunia kekuatan patriotisme kita,” katanya. – MalaysiaGazette