KUANTAN – Seorang warga emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Seksyen di sini atas tuduhan membakar sembilan deretan kedai di Lorong 7 Industri Padang Lalang, Kuantan, baru-baru ini.
Yip Chee Hong, 61, membuat pengakuan itu ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohammed Mokhzani Mokhtar.
Dia didakwa melakukan perbuatan khianat api dengan merosakkan kepada sembilan lot bangunan kedai yang dijadikan tempat menyimpan harga benda milik Wong Fook Har pada jam 5 pagi, pada 11 September lalu.
Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan (khianat dengan api) yang mana boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda.
Tertuduh yang tidak fasih berbahasa Melayu menggunakan khidmat jurubahasa sepanjang pertuduhan dibacakan.
Dalam pada itu, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aiysha Na’ilah Harizan memohon mahkamah meluluskan permohonan bagi tertuduh menjalani pemeriksaan mental sebelum kes perbicaraan bermula.
Bagaimanapun, peguam mewakili tertuduh, Datuk Zaharman Zainal Abidin membantah permohonan itu dengan alasan anak guamnya tidak mahu menjalani pemeriksaan mental.
“Anak guam saya masih boleh berkomunikasi dengan jelas dan mengingati nombor kad pengenalan dengan tepat ketika dikehendaki jurubahasa,” katanya.
Namun, Zaharman memberitahu, tertuduh mengalami masalah kesihatan iaitu demam sejak beberapa hari ketika masih dalam tahanan reman kerana faktor usia.
Hakim memutuskan tertuduh perlu menjalani pemeriksaan kesihatan mental di Hospital Permai, Johor Bahru mengikut Seksyen 342 (3) Kanun Prosedur Jenayah.
Kes disebut semula 28 Oktober depan sehingga laporan kesihatan mental dikeluarkan.
Sebelum ini, laporan media menyebut, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang tidak menolak kemungkinan kebakaran tersebut disengajakan berdasarkan rumusan penelitian pelbagai sudut serta tiada tanda kebakaran disebabkan litar pintas atau punca lain.
Oleh itu, hasil siasatan pihaknya setakat ini mendapati terdapat unsur khianat atau kebakaran yang disengajakan menyebabkan 95 peratus deretan premis terbabit musnah. – MalaysiaGazette