KUALA LUMPUR – Khidmat Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani sebagai Ketua Polis Negara (KPN) dilanjutkan secara kontrak selama dua tahun bermula 4 Oktober ini sehingga 3 Oktober 2023.
Acryl Sani, 59, sepatutnya bersara wajib pada awal Oktober ini.
Penyerahan watikah pelantikan kepada Acryl Sani disempurnakan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin di Bukit Aman hari ini.
Hadir sama, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ismail Mohamed Said dan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim.
Hamzah menerusi satu sidang media khas berkata, pelantikan KPN telah mendapat perkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, Seri Paduka Baginda Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Saya ingin mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan tahniah dan syabas sekali lagi kepada Datuk Seri Acryl Sani.
“Seri Paduka Baginda telah pun memperkenankan pelanjutan khidmat Datuk Seri Acryl Sani sebagai Ketua Polis Negara secara kontrak selama dua tahun berkuatkuasa mulai 4 Oktober ini sehingga 3 Oktober 2023.
“Saya yakin dengan pelantikan ini ia dapat memberi semangat kepada semua pegawai-pegawai dan anggota untuk terus bekerjasama dengan KPN yang kita semua sedia maklum akan lakukan yang terbaik untuk negara,” ujarnya. – MalaysiaGazette