KUALA LUMPUR – Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) telah menubuhkan Institut Pendidikan dan Penyelidikan IMAN (IPPI) yang berperanan sebagai platform untuk menyediakan peluang pendidikan kepada ahlinya dan anak mereka.
Ia juga bertindak sebagai sebuah pusat kajian dan pembangunan masyarakat India Muslim di negara ini.
Setiausaha Agong IMAN, Dr. Amir Hamzah Abdul Razak berkata, IPPI juga bertanggungjawab dalam menyelesaikan masalah-berkaitan pendidikan, kemasukan ke universiti, matrikulasi, program-program asasi yang berkaitan dengan masyarakat India Muslim amnya serta ahli-ahli IMAN khasnya.
Justeru jelas beliau, IMAN melalui usaha IPPI telah mengorak langkah menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) dengan Geomatika University College (GUC) yang antaranya memberi keistimewaan seperti yuran pendaftaran program hanya RM100 di mana baki yuran pendaftaran akan ditanggung oleh parti itu.
“Keistimewaan dalam MOU itu adalah penginapan asrama percuma dan elaun sara diri sehingga RM1,000 bergantung kepada program pengajian,” kata Amir.
Pada masa, yuran pengajian ditanggung oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) manakala baki dari yuran pengajian akan ditanggung oleh IMAN dan/atau Yayasan Geomatika.
“Selain itu, program pengajian pembelajaran terbuka dan jarak jauh (ODL) disediakan kepada ahli-ahli IMAN yang ingin melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi seperti diploma, ijazah dan sarjana selain program keusahawanan dan jaminan kerja selepas tamat pengajian,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
MOU dengan Geomatika University College (GUC) itu telah ditandatangani baru-baru ini di mana IMAN diwakili Presidennya, Datuk Mohamed Mosin Abdul Razak dan Amir Hamzah manakala GUC diwakili oleh Naib Canselornya, Prof. Sr. Dr. Noor Rosly Hanif dan Timbalan Naib Canselor II, Mazerin Rohizaq bin Che Rose.
Amir Hamzah menambah, IMAN memilih GUC sebagai rakan strategiknya berdasarkan beberapa faktor antaranya urus tadbir institut pengajian tinggi swasta itu yang tersusun dan cekap serta kualiti pengajian yang ditawarkan.
Jelas beliau, GUC juga mempunyai rangkaian pendidikan bermula dari tadika, sekolah swasta tempatan dan antarabangsa, pusat bertauliah bagi kursus kemahiran, program-program akademik bermula dari sijil, diploma, ijazah, sarjana sehinggalah ke peringkat kedoktoran.
Menurut beliau, GUC juga telah mendapat pengiktirafan sebagai sebuah Universiti sepenuhnya.
“Pendidikan antara sektor paling kritikal dalam menjana bakat dan potensi insan berpengetahuan serta berkemahiran tinggi, amat dititikberatkan oleh kepimpinan IMAN.
“Kami yakin dan percaya hanya pendidikan dapat melahirkan sebuah bangsa yang berjaya dan menjadi pemacu kepada pembangunan dan kemajuan Malaysia,” katanya.
IMAN sebelum ini dikenali Parti India Muslim Bersatu Malaysia (PBIM) yang ditubuhkan pada 2019 bagi memperjuangkan kepentingan masyarakat India Muslim itu yang bertitik tolak daripada kekecewaan masyarakat itu bahawa tiada parti untuk membela nasib mereka dengan sebenar-benarnya.
Namun pada September tahun lalu, PBIM meminda perlembagaan parti dengan menukar nama kepada Parti Perikatan India Muslim Nasional atau IMAN. – MalaysiaGazette