CHICAGO – Hampir 600 pekerja United Airlines bakal dipecatĀ setelah gagal mematuhi dasar vaksinasi Covid-19 yang ditetapkan syarikat.
Setakat ini, seramai 67,000 kakitangan di Amerika Syarikat telah memberikan bukti vaksinasi.
“Ini adalah keputusan yang sangat sukar,” kata memo syarikat kepada pekerja.
Syarikat penerbangan yang berpangkalan di Chicago ini menetapkan keperluan vaksinasi Covid-19 untuk kakitangan pada bulan Ogos lalu.
Kakitangannya di AS terpaksa memuat naik bukti vaksinasi, atau yang pertama daripada dua suntikan pada tarikh akhir iaitu Isnin lalu.
Seramai 593 pekerja yang telah menolak vaksin koronavirus dan tidak memohon pengecualian atas alasan agama atau perubatan, kini menghadapi kehilangan pekerjaan.
”Alasan kami untuk vaksin semua pekerja yang berpangkalan di Amerika Syarikat bagi menjaga keselamatan orang ramai. Semua orang lebih selamat apabila semua orang diberi vaksin.
“Ini adalah keputusan yang sangat sukar tetapi menjaga keselamatan pasukan kami selalu menjadi keutamaan syarikat,” kata ketua eksekutifnya Scott Kirby dan presiden syarikat, Brett Hart. – BBC