Home Utama Lembah Klang, Melaka beralih ke Fasa Tiga, Kedah ke Fasa Dua PPN...

Lembah Klang, Melaka beralih ke Fasa Tiga, Kedah ke Fasa Dua PPN mulai 1 Okt

Suasana lengang berikutan Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung penularan wabak Covid-19 semasa tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar kawasan Bandar Hilir Melaka. Foto AFFAN FAUZI, 10 FEBRUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan Melaka akan beralih ke Fasa Tiga dalam Pelan Pemulihan Negara berkuat kuasa 1 Okt ini.

Kedah pula akan beralih ke Fasa Dua pada tarikh sama, sekali gus menyaksikan tiada lagi negeri berada di Fasa Satu di seluruh negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik COVID-19 hari ini bersetuju untuk membenarkan peralihan fasa bagi negeri berkenaan setelah mengambil kira penilaian risiko semasa oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada seluruh Keluarga Malaysia, khususnya kerajaan negeri yang bertungkus-lumus menguruskan situasi pandemik di negeri masing-masing, demi memenuhi nilai ambang yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Johor dan Sabah kini berada dalam Fasa Dua; Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor, Melaka, Perlis, Pahang, Terengganu dan Sarawak (Fasa Tiga) manakala Negeri Sembilan dan Labuan (Fasa Empat).

— BERNAMA