Home Seni Hidup JKKN anjur Festival Permainan Malaysia

JKKN anjur Festival Permainan Malaysia

Antara pengisian yang akan bersiaran di JKKN TV adalah permainan congkak.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) telah menganjurkan Festival Permainan Malaysia@Kuala Lumpur Online 2021 (FPM 2021), baru-baru ini.

Program tahunan yang telah memasuki kali kelima penganjurannya namun terhenti seketika pada tahun 2020 kembali memeriahkan industri seni dan budaya tempatan dengan himpunan kekayaan dan keunikan seni permainan tradisional di Malaysia melalui saluran media sosial JKKN TV.

FPM 2021 menyajikan penonton dengan pelbagai pengisian yang menarik untuk seisi keluarga di samping dapat menanamkan minat serta mengangkat kembali permainan tradisional Malaysia supaya tidak pupus dan ditelan zaman.

Ia secara langsung menjaga nilai seni warisan negara untuk generasi muda dengan menampilkan lebih 20 jenis permainan tradisional dan moden pelbagai kaum di Malaysia.

“Antara pengisian yang bersiaran di JKKN TV adalah permainan congkak, batu seremban, tuju selipar, teng-teng, lompat getah dan pukul berapa datuk harimau.

“Selain itu terdapat juga beberapa pertandingan seperti pertandingan seni mempertahankan diri (silat, wushu dan silambam), Cabaran Jom Viral Permainan Tradsional dan Cabaran Tari Teng-teng. Bagi pengisian program ilmiah pula, disiarkan demonstrasi permainan gasing dan tidak ketinggalan bual bicara permainan Kabaddi serta Chek Riej Nuej dari Orang Asal (Orang Asli Gombak).

“Demonstrasi permainan tradisional Sabah iaitu Rampanau, permainan tradisional Sarawak Batak Lampung juga turut dipaparkan sepanjang siaran FPM 2021. Penonton turut menyaksikan hiburan persembahan oleh artis tanahair Azlan & The Typewriter dan Busker Kumpulan Sentuhan Aizad.

“Seiring dengan itu, penonton juga dapat menyaksikan beberapa  lokasi pelancongan menarik dan kepelbagaian kebudayaan di Malaysia menerusi paparan segmen Tourism Malaysia serta dan banyak lagi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Permainan tradisional batu seremban.

Program yang disempurnakan majlis pelancarannya oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri dalam ucapan  perasmiannya berkata, permainan tradisional sebagaimana yang diketahui umum merupakan permainan yang sering dimainkan oleh masyarakat kampung ata upun desa khususnya oleh golongan kanak-kanak dan juga remaja bagi mengeratkan hubungan serta mengukuhkan jati diri secara tidak langsung melalui sesebuah permainan.

Kata beliau, jikalau dahulu permainan tradisional sering kita lihat secara harian tetapi kini permainan tradisional semakin lama, semakin dilupai oleh generasi muda khasnya dan sukar untuk kita melihat permainan tradisional di kampung apatah lagi di kawasan bandar.

Menurutnya, melihat kepada keadaan ini, maka antara insiatif JKKN selaku agensi di bawah MOTAC yang bertanggungjawab untuk melestari dan menyemarakkan aktiviti seni budaya adalah dengan meneruskan pelaksanaan penganjuran Festival pada tahun ini secara maya dan bersiaran di JKKN TV.

“Festival permainan ini dapat mengimbau kembali permainan tradisional yang ada di Malaysia serta secara tidak langsung dapat mengukuhkan hubungan dan perpaduan di kalangan pelbagai kaum di Malaysia.

“Inilah keunikan permainan di Malaysia, dapat menyatukan kita semua menjadi sebuah Keluarga Malaysia sebagaimana saranan YAB Perdana Menteri Malaysia.

“Dalam penyaluran maklumat kepada masyarakat Malaysia mengenai kepentingan imunisasi terhadap Covid-19, video kempen daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkenaan vaksinasi turut menjadi sebahagian rancangan yang disiarkan semasa program tersebut,” katanya.

Program itu turut dimuatkan dengan slot tazkirah kerohanian oleh pendakwah terkenal, Da’i Aiman dan Motivator Aiman Idris.

Untuk maklumat lanjut mengenai FPM 2021, orang ramai boleh layari laman sesawang www.jkkn.gov.my atau laman sosial www.facebook.com/mysenibudaya dan www.facebook.com/JkknWPKualaLumpur . – MalaysiaGazette