Home Sukan Jangan salahkan Haziq – Kim Swee

Jangan salahkan Haziq – Kim Swee

Pemian-pemain Malaysia kelihatan kecewa selepas tumpas kepada Thailand 1-0 pada Perlawanan Akhir Bola Sepak Kejohanan Sukan SEA KL 2017 di Stadium Shah Alam. foto SAFWAN MANSOR, 29 OGOS 2017

KUALA LUMPUR – Ketua Jurulatih Bawah 22 Tahun (B-22), Datuk Ong Kim Swee tidak menyalahkan kesilapan penjaga gol, Muhammad Haziq Nadzli yang tertumbuk bola ke gawang sendiri pada perlawanan akhir malam tadi.

Sebaliknya, beliau mengakui kesilapan penjaga gol adalah sesuatu yang normal dalam bola sepak.

“Sudah pasti kita tidak boleh menerima cara gol begitu tetapi ia berlaku kepada semua pasukan dan kita tidak boleh menyalahkan penjaga gol.

“Dia masih muda dan mempunyai masa depan yang cerah. Malah ini merupakan proses pembelajaran yang sangat bagus.

 “Dan sudah tentu kami akan lebih bersedia untuk kembali bersama pada Disember ini bagi persiapan ke Piala AFC (Piala Konfederasi Bola Sepak Asia),” ujarnya selepas selepas perlawanan.

Sementara itu, Kim Swee  turut mengakui amat berpuas hati dengan persembahan skuadnya secara keseluruhannya.

“Pemain sudah memberikan segalanya. Dengan masa yang terhad, kami berjaya membuktikan untuk mara ke separuh akhir bersaing dengan pasukan lebih baik dan bertemu Thailand.

“Walaupun tewas, kami berada di landasan yang betul,” tambahnya.

Dalam masa sama, Kim Swee juga memberitahu ketiadaan pasukan penyokong Malaysia, Ultras Malaya juga memberikan sedikit kesan suasana dalam stadium kali ini.

“Ultras selalu menjadi sebahagian daripada kami dan sejak awal kempen berlangsung mereka ada. Saya tidak pasti malam ini apa yang terjadi. Tempiasnya sedikit sebanyak kepada pemain.

“Walau apa pun yang berlaku saya harap, kita sama-sama boleh fikir mengenai masa depan skuad muda ini yang mempunyai masa depan cerah.

“Mereka memerlukan Ultras dan juga penyokong-penyokong lain,” ujarnya.

Pada perlawanan tersebut, Thailand mencatat rekod hatrik pingat emas apabila menang satu jaringan hasil daripada kesilapan penjaga gol negara. – MalaysiaGazette