Home Dunia Thailand tumpu 6 negara buru bekas Perdana Menteri

Thailand tumpu 6 negara buru bekas Perdana Menteri

Yingluck Shinawatra, bekas Perdana Menteri Thailand.

BANGKOK – Pihak berkuasa Thailand telah menghubungi Kemboja, Laos, Myanmar, Vietnam, Singapura dan Emiriyah Arab Bersatu dalam usaha memburu bekas Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra yang dipercayai melarikan diri ke salah sebuah negara tersebut.

Perdana Menteri, Prayut Chan-o-cha berkata, Kementerian Luar sedang bekerjasama dengan enam buah negara menerusi saluran diplomatik dan pusat pemeriksaan imigresen di sepanjang sempadan negara itu bagi memburu Yingluck yang melarikan diri sebelum keputusan mahkamah mengenai kes skim jaminan padi anjuran beliau diumumkan pada minggu lalu.

Prayut berkata, Thailand tidak menghubungi United Kingdom, di mana Yingluck disyaki memohon suaka politik, kerana beliau ragu-ragu bekas Perdana Menteri itu layak mendapatkan status yang dipohonnya, lapor akhbar The Nation.

Lokasi Yingluck berada kekal menjadi misteri sejak beliau gagal menghadirkan diri ke Mahkamah Agung pada Jumaat lalu bagi mendengar keputusan dakwaan penyelewengan dalam skim perjanjian beras yang menyebabkan kerugian beribu-ribu bilion Baht.

Ketua tentera, Jeneral Chalermchai Sitthisat berkata, beliau percaya Yingluck telah melakukan perancangan awal dengan teliti untuk melarikan diri bagi membantu abangnya, Thaksin Shinawatra, yang digulingkan menerusi rampasan kuasa pada 2006 dan kini menetap dalam buangan di Dubai.

“Tidak seperti orang awam, Yingluck berpotensi untuk melarikan diri secara sendirian. Abang beliau mungkin menyediakan kemudahan untuknya, seperti pesawat peribadi,” katanya sambil menambah Yingluck tidak menggunakan telefon bimbitnya dan berhenti menggunakan kenderaan yang selalu digunakan untuk ke mana-mana sebelum menghilangkan diri.

Ketua tentera itu berkata, beliau percaya Yingluck telah meninggalkan negara itu walaupun tiada bukti kukuh bekas Perdana menteri itu telah melakukannya.

Beliau mengaku, Yingluck telah mendedahkan kelemahan operasi Majlis Keamanan dan Perintah Nasional (NCPO) dan tentera yang memantau hal-hal keselamatan dan sempadan.

Ketua Polis, Chakthip Chaijinda berkata, para pegawainya telah menyoal sekurang-kurangnya 14 orang yang dilaporkan menemui Yingluck di sebuah hotel di Bangkok sebelum beliau menghilangkan diri.

Terdahulu polis turut penyoal pengawal peribadinya, termasuk Kolonel Polis Watanyu Wittayaphalothai yang menyediakan kemudahan keselamatan kepada pejabat politik keluarga Shinawatra sejak pentadbiran Thaksin.

Timbalan Ketua Polis, Jeneral Polis Srivara Rangsipramanakul berkata, beliau telah menemui Watanyu pada Isnin lalu dan pertemuan itu adalah bermanfaat namun tidak dapat mendedahkan butirannya.

Pegawai imigresen telah memeriksa semua pintu keluar, termasuk lapangan terbang namun tidak menemui sebarang petunjuk bagaimana Yingluck berjaya meloloskan diri dari negara itu.

Polis Thailand telah menghubungi Interpol yang mempunyai wakil di lebih 190 buah negara namun tidak menerima sebarang maklum balas setakat ini.

Prayut dan Chalermchai menegaskan, para pegawai junta yang mengawasi pergerakan Yingluck tidak terlibat atau membantu Yinluck ketika melarikan diri.

“Saya tidak nampak sebarang manfaat (kepada NCPO). Kini kami dipersalahkan. PM Prayut (Chan-o-cha) menghubungi saya setiap hari untuk mempercepatkan usaha mengesan beliau,” kata ketua tentera itu.

Prayut berkata: “Anda semua merungut kami melanggar hak asasi dengan mengawasi secara ketat, oleh itu jangan mengadu. Saya kesal kami dipesalahkan kerana membiarkan beliau melepaskan diri, ini tidak benar,”.

Semua pegawai yang didapati membantu Yingluck melepaskan diri akan didakwa, tambahnya.

“Pasti terdapat peruntukan perundangan untuk mendakwa beliau,” katanya. – Agensi