Home Utama Jangan gunakan saya sebagai alasan

Jangan gunakan saya sebagai alasan

Najib Razak Asyraf Wajdi EPF withdrawal
Najib Razak

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak tidak sanggup percaya bahawa beliau dijadikan alasan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk meluluskan projek ubahsuai dan naik taraf kediaman Seri Perdana.

Bekas perdana menteri itu berkata, selepas Barisan Nasional (BN) kalah pada Pilihan Raya Ke-14 (PRU14) dia dan keluarganya diberikan masa beberapa jam sahaja untuk meninggalkan Seri Perdana sebab Tun Dr Mahathir Mohamad percaya ada banyak rahsia tersimpan di sana.

Najib berkata, beliau menulis surat kepada Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada bulan Ogos 2018 untuk diberi kebenaran mengambil balik barang peribadi, hadiah, cenderamata dan perabot yang dibeli dengan duit sendiri dari Seri Perdana namun surat tersebut tidak dibalas.

Katanya, pada bulan Ogos 2019, beliau sekali lagi ulang surat untuk permintaan yang sama.

”Setelah 14 bulan kemudian pada 21 Oktober 2020, Jabatan Perdana Menteri (JPM) baru membalas dan menyatakan mereka bersetuju dengan syarat hanya senarai barang-barang termasuk perabot yang dapat dibuktikan adalah dibeli oleh saya dan bukan aset kerajaan dibenarkan.

”Senarai tersebut diperiksa dan diluluskan JPM.

”Sehubungan dengan itu, JPM pun menulis satu lagi surat pada 18 Nov 2020 kepada saya untuk suruh saya angkat balik barang-barang peribadi saya SEPERTI DALAM SENARAI MUKTAMAD. Diberi tempoh masa 2 minggu kepada pihak saya untuk selesaikan pemindahan sebelum 3 Disember 2020,” katanya dalam kenyataan yang dikongsikan di Facebook beliau.

 

 

Ma

Semasa itu, katanya, kakitangan beliau pelik kenapa JPM tiba-tiba suruh ambil balik barang-barang dengan begitu laju.

”Rupa-rupanya seorang pengurus baharu Seri Perdana telah dilantik (yang kami diberitahu merupakan saudara PM8) dan mereka memberitahu kita bahawa PM8 ada rancangan untuk menaik taraf Seri Perdana sebab dia mahu pindah ke sana. (Antara cadangan mereka ialah untuk memperluaskan bahagian dapur sebab mereka kata ruang dapur sedia ada terlalu kecil).

”Itulah cerita sebenarnya,” ujar Najib.

Namun, Najib hanya dibenarkan mengeluarkan barang-barangan dari senarai muktamad diluluskan dan diberi JPM.

”Hanya mereka yang tertipu dengan manifesto bukan kitab PH (ya, ditulis oleh ketua penerangan PPBM) sahaja yang akan percaya bahawa saya mengambil balik barang peribadi, perabot dibeli sendiri yang sudah lama serta hadiah diberi kepada saya memaksa kerajaan PM8 untuk luluskan ubah suai serta naik taraf kediaman Seri Perdana dengan jumlah RM38.5 juta oleh seorang yang kononnya tiada niat untuk tinggal di sana.

”Habis tu, nak belanja RM38.5 juta untuk apa? Untuk dibiarkan kosong tanpa sesiapa mahu duduk di sana?

”Jangan gunakan saya sebagai alasan sekiranya ianya niat kamu untuk belanja RM38.5 juta untuk kediaman pada ketika sendiri beritahu rakyat bahawa kerajaan tak ada banyak wang lagi untuk bantu rakyat.

”Lagipun, perabot-perabot lama dibeli saya yang JPM arahkan untuk kami keluarkan dari Seri Perdana masih simpan di warehouse sebab saya masih berpuas hati dengan perabot saya di rumah saya. Tak digunakan langsung.

”Jika kerajaan ada niat, saya setuju untuk berikan secara percuma kepada kerajaan. Hanya perlu berhubung dengan pegawai saya dan datang warehouse untuk pilih,” katanya. – MalaysiaGazette