KUALA LUMPUR – Syarikat platform e-hailing, MyCar menganjurkan Program Pemberian Bakul Makanan 2.0. kepada seramai 150 penerima yang terdiri daripada pekerja gig ekonomi yang terkesan akibat wabak pandemik Covid-19.
Ketua Pegawai Eksekutif MyCar, Mohd. Noah Maideen berkata, enerima tersebut melibatkan kawasan Selayang dan Pantai Dalam yang menerima sumbangan bakul makanan berbentuk keperluan makanan harian.
Jelas beliau, sumbangan itu bagi menyantuni usaha mereka yang selama ini banyak membantu MyCar secara langsung dan tidak langsung dalam menggerakkan perniagaan e-hailing ini.
“Ada di antara penerima bakul makanan ini sudah lama hilang pekerjaan, masih tidak mempunyai pekerjaan tetap, ditimpa pula musibah dibuang kerja tatkala berdepan dengan wabak pandemik ini dan merupakan cabaran yang besar yang mereka harus lalui
untuk teruskan hidup dikala pandemik ini melanda.
“Bakul makanan yang kami berikan kepada penerima berbentuk keperluan harian yang terdiri daripada beras, minyak, susu, gula, kicap, sos dan sebagainya.
“Diharapkan sumbangan kecil ini serba sedikit dapat meringankan beban mereka yang memerlukan.
“Kami tampil menyantuni mereka dengan pemberian bakul makanan ini agar dapat meringankan sedikit sebanyak beban untuk mereka menguruskan ekonomi yang makin mencabar bagi menampung diri dan keluarga mereka,” katanya.
Majlis penyerahan sumbangan bakul makanan itu disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif, MARDI Corporation Sdn. Bhd., Zaidi Shahrim di MAEPS Serdang hari ini.
Mohd. Noah menambah, MyCar amat prihatin berhubung penularan Covid-19 dan pemandu e-hailing yang terkesan daripada pandemik tersebut.
Kata beliau, pihaknya berharap agar program sedemikian dapat dianjurkan lagi pada masa akan datang bagi meringankan beban pekerja gig-ekonomi. – MalaysiaGazette