KUALA LUMPUR – Penglibatannya dalam dunia dakwah bukan baharu malah sudah lebih tujuh tahun beliau bersama pertubuhan bukan kerajaan Multiracial Reverted Muslims (MRM).
Menjadi pengasas kepada MRM, Firdaus Wong Hai Wung sering menekankan kepada kakitangannya agar menjaga setiap misi dakwah yang dilakukan sama ada isu mendekati mereka yang belum Islam, murtad, golongan LGBT dan termasuklah jenayah seksual.
“Kesedaran terus menerus perlu diberikan kerana jenayah seksual ini atau apa sahaja isu yang kami buat, ia tidak akan berhenti.
“Ramai mangsa yang selama ini rasa normal tetapi selepas diberi pendedahan baru mereka tahu sentuhan di bahagian belakang, paha atau dada itu adalah jenayah seksual,” katanya ketika menjadi tetamu program SKOP MG dengan tajuk Redha Ilahi atau Mencari Publisiti? malam tadi.
Beliau berkata, apa yang dipaparkan oleh MRM di media sosial hanyalah lima ke 10 peratus sahaja sebagai kesedaran dan motivasi kepada orang ramai.
“Selebihnya iaitu 90 peratus lagi kita tutup aib dia, jangan menagih simpati orang. Saya sendiri sangat jarang memuat naik ke media sosial saya, jika yang tengok pun, bukan daripada saya tetapi ada orang lain berbuat demikian.
“Kerja-kerja dakwah ini bukan untuk menunjuk-nunjuk. Kami pergi ke Dataran Merdeka, Jalan Bukit Bintang atau lain-lain tempat untuk menyantuni golongan LGBT atau apa sahaja, ia tidak dimuat naik ke media sosial,” katanya.
Jelas pendakwah bebas ini lagi, segala-galanya itu diserahkan kepada Allah.
“Tugas dakwah bukan mencari populariti. Jika nak… lebih baik jadi pelakon, jadi artis,” katanya lagi.
Ketika ditanya mengenai perkembangan kes jenayah seksual selepas beliau memuat naik bukti mesej dan audio di Telegramnya, Firdaus mengakui ada menerima aduan daripada mangsa baharu berkaitan kes tersebut.
“Saya muat naik bukan untuk aib tetapi untuk lebih kepada kesedaran agar jika ada mangsa lagi boleh tampil membuat laporan polis.
“Saya akui, MRM ada menerima aduan lagi selepas itu beserta bukti kukuh. Seperti biasa, apabila dapat sahaja bukti daripada mangsa, saya serahkan kepada pihak berkuasa, biarlah mereka yang menentukan,” jelasnya lagi.
Menjadi pemberi maklumat kepada pihak berkuasa, Firdaus mengakui MRM mempunyai hubungan yang baik dengan pihak berkuasa.
“Tidak hanya pihak polis, malah kami mempunyai hubungan yang sangat baik dengan agensi kerajaan yang lain.
“InsyaAllah, apa yang kami lakukan, tidak melebihi had kami dan jauh sekali mengambil tugas pihak berkuasa,” katanya lagi.
Nama Firdaus Wong sebelum ini terkait dengan kontroversi apabila mendedahkan perbuatan jenayah seksual seorang yang amat dikenali.
Perkara itu terus menjadi bualan warganet dan tidak kurang menyatakan itu hanya fitnah.
“Biar polis tentukan kerana ia masih dalam siasatan, saya tidak takut dan saya benar-benar tahu dan yakin dengan apa yang saya lakukan,” jelasnya lagi.- MalaysiaGazette