Home Nasional 10 jam padam kebakaran dua kilang di Pasir Gudang – Bomba

10 jam padam kebakaran dua kilang di Pasir Gudang – Bomba

Kebakaran sebuah kilang memproses air dipercayai berlaku di Jalan Masai Lama, Bandar Seri Alam, Pasir Gudang, bersebelahan Lebuhraya Pasir Gudang susur keluar ke Masai Seri Alam, sebelum Taman Rinting, Johor Bahru malam tadi.

JOHOR BAHRU – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor mengambil masa hampir 10 jam untuk memadamkan kebakaran dua buah kilang iaitu kilang memproses lilin dan air mineral di Jalan Masai Lama, Pasir Gudang, di sini malam tadi.

Ketua Zon 1 JBPM Johor Penguasa Kanan Bomba I Mohd Tilmizi Mustapha berkata Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang, menerima panggilan berhubung kebakaran kedua-dua kilang itu pada 9.18 malam.

Beliau berkata sepasukan anggota termasuk pegawai dari BBP Pasir Gudang, BBP Tebrau dan BBP Johor Jaya bersama jentera digerakkan ke lokasi kejadian.

“Setibanya di tempat kejadian didapati berlaku kebakaran dua kilang masing-masing berkeluasan 70×200 kaki terbakar hampir 80 peratus setiap satu. Operasi pemadaman dilakukan di bahagian dalam, kiri dan kanan bangunan, bagi mengawal kebakaran daripada merebak ke kilang bersebelahan.

“Kita turut melakukan pengepaman bergilir dari jentera Pasir Gudang dengan jentera Tebrau menggunakan sumber air daripada pili bomba berhampiran dan jentera Bandar Baru Kulai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, pihaknya berjaya mengawal kebakaran pada kira-kira 7 pagi ini dan operasi masih dijalankan bagi memadam sisa api di kedua-dua kilang tersebut.

Bagaimanapun katanya, kebakaran itu tidak melibatkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dan punca kebakaran serta nilai kerugian masih dalam siasatan.- BERNAMA