Home Nasional Gangguan tujuh jam bekalan elektrik Jambatan Pulau Pinang dipulihkan

Gangguan tujuh jam bekalan elektrik Jambatan Pulau Pinang dipulihkan

Gambar tular menunjukkan laluan di Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang sesak selain keadaan jambatan bergelap malam tadi.

GEORGE TOWN – Gangguan bekalan elektrik di Jambatan Pulau Pinang yang menyebakan laluan menghubungkan bahagian pulau dan tanah besar itu bergelap semalam berjaya dipulihkan selepas hampir tujuh jam.

MalaysiaGazette difahamkan, kerja-kerja membaik pulih selesai pada jam 3.30 pagi.

Ketua Perhubungan Libat Urus Strategik PLUS Malaysia Berhad (PLUS), Syed Mohammed Idid berkata, Jambatan Pulau Pinang mengalami gangguan bekalan elektrik bermula jam 8.23 malam.

Jelas beliau, kejadian itu turut menyebakan bekalan elektrik di kawasan sekitar pulau dan Seberang Jaya yang menghubungkan jambatan juga turut terjejas buat sementara waktu.

“PLUS memohon maaf atas kesulitan akibat gangguan tersebut dan pihak kami sedang melakukan kerja-kerja membaik pulih bagi memulihkan situasi secepat mungkin.

Semua lorong di plaza tol Jambatan Pulau Pinang sudah boleh diguna dan keadaan kembali normal pagi tadi.

“Namun, semua lorong kini telah berfungsi seperti biasa dan kami akan terus memaklumkan dari semasa ke semasa sebarang perkembangan terkini,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Terdahulu, tular beberapa keping gambar menunjukkan laluan di Jambatan Pulau Pinang sesak dan gelap akibat gangguan bekalan elektrik.

Mengikut laporan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) semua lorong kenderaan di Plaza Tol A jambatan itu ditutup akibat gangguan bekalan elektrik manakala hanya tiga lorong dibuka bagi Plaza Tol B. – MalaysiaGazette