Home Politik Kerajaan P.Pinang perlu kaji semula PIP – Tong Keong

Kerajaan P.Pinang perlu kaji semula PIP – Tong Keong

GEORGE TOWN – Parti Gerakan Pulau Pinang mencadangkan supaya kerajaan DAP mengkaji semula Pelan Induk Pengangkutan (PIP) negeri ini kerana terdapat beberapa projek yang mana berkebolehlaksaannya diragui.

PIP merupakan satu pelan dan rancangan komprehensif yang besar, projek Transit Aliran Ringan (LRT), monorel, trem, transit aliran bas (BRT), terowong dasar laut yang mungkin akan digantikan dengan jambatan, jalan alternatif dan sebagainya adalah antara projek yang terkandung dalam PIP.

Pengerusinya, Oh Tong Keong berkata, kerajaan negeri hari ini didakwa telah mengeluarkan projek yang meragukan itu daripada PIP.

Jelas beliau, kerajaan di bawah pimpinan Chow Kon Yeow perlu memberi fokus kepada projek yang boleh dilaksanakan seperti tram dan pembinaan lebih banyak jalan alternatif untuk menyuraikan kesesakan trafik di Pulau Pinang.

“Kami menggesa kerajaan negeri untuk mengkaji semula PIP dan mengambil keputusan segera untuk mengekalkan projek yang berkebolehlaksanaan serta mengeluarkan beberapa projek yang tidak perlu dari PIP.

“Kerajaan DAP tidak tahu sama ada hendak membina projek terowong dasar laut atau jambatan ketiga, projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR) pula telah diberhentikan sementara, LRT dan beberapa projek lebuh raya yang bakal dibina di bahagian pulau juga tidak dapat dilaksanakan.

“Kita lihat projek PSR ini adalah satu lagi penipuan DAP selain daripada projek terowong dasar laut kerana sebelum ini pelaksanaan PSR adalah untuk menjana dana untuk membiayai pembinaan LRT, tetapi kini pulau buatan manusia yang bakal ditambak itu dijadikan sebagai tapak pembangunan untuk pemaju,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Tong Keong, tindakan kerajaan negeri menghebohkan PIP selama 10 tahun juga mungkin merupakan satu penipuan yang digunakan mereka untuk bekerjasama dengan pemaju bagi merampas tanah Pulau Pinang.

“Projek pembangunan mega yang diumumkan itu mungkin hanya satu wayang pihak kerajaan negeri,” ujar beliau. – MalaysiaGazette