JOHOR BAHRU – Seorang lelaki warga tempatan ditemui tidak sedarkan diri apabila kereta yang dipandunya terbabas dipercayai melanggar sebatang pokok di Danga Bay, di sini, pada jam 4.55 pagi tadi.
Pegawai Bomba Kanan II Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin,Mohamad Nazaruddin Ahmad Zainuddin berkata, mangsa yang berusia 32 tahun yang menuju ke arah pusat bandar itu cedera di bahagian kepala.
Katanya, anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin yang dikejarkan ke lokasi kejadian mengambil masa lima minit untuk mengeluarkan mangsa daripada kenderaannya.
“Pihak kami menerima laporan lebih kurang 4.55 minit pagi dan satu jentera termasuk sebuah jentera EMRS dengan kekuatan 10 anggota dikejarkan ditempat kejadian.
“Setibanya pihak bomba di sana, mangsa lelaki yang ditemui di tempat tidak sedarkan diri dan cedera di bahagian badan dan kepala serta telah terbuang air besar.
“Operasi mengarahkan anggota memberikan bantuan awal dan mengeluarkan mangsa dari tempat duduk belakang,” katanya di sini.
Mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) dengan menaiki Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) untuk rawatan lanjut sebelum kes diserahkan kepada pihak polis.
Operasi tamat kira-kira 5.45 minit pagi. – MalaysiaGazette