Home Politik PKR sedia bertanding 28 kerusi pada PRU15

PKR sedia bertanding 28 kerusi pada PRU15

Syed Ibrahim Syed Noh ketika merasmikan Program Jelajah Peduli di Pusat Perdagangan Danga Utama pagi tadi.

JOHOR BAHRU – Parti Keadilah Rakyat (PKR) Johor akan bertanding di 28 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, parti itu telah mengenal pasti kawasan DUN yang berpotensi untuk meletakkan calon.

Antaranya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas, Larkin dan Permas Jaya, ujarnya.

“Ini berdasarkan pola penduduk berbilang kaum dan begitu juga kerusi DUN lain yang sedang kita rancang untuk bertanding dalam PRU15 di Johor.

“Bagaimanapun soal pengagihan kerusi ini masih terbuka, belum putuskan mana-mana parti tetapi kita lihat PKR ada kelebihan sebagai parti pelbagai kaum,” katanya dalam sidang media selepas Program Jelajah Peduli di Pusat Perdagangan Danga Utama, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi PKR Johor, Jimmy Puah Wee Tse yang juga ADUN Bukit Batu.

Syed Ibrahim berkata, PKR juga akan berunding dengan parti komponen Pakatan Harapan (PH) di negeri ini terlebih dahulu untuk pembahagian kerusi.

“Dalam situasi pertandingan tiga atau empat penjuru, situasi berkenaan merupakan peluang terbaik untuk PKR terutamanya,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Ledang berkata, PKR Johor juga telah menggerakkan jentera dan bersedia 80 peratus sebagai persediaan menghadapi PRU15 sejak dua tahun lalu.

“Walaupun dalam suasana pandemik Covid-19 dan dalam keadaan PH telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama-sama kerajaan, persediaan tetap perlu dilakukan, katanya.

“Ini kerana kita tidak dapat menjangkakan bilakah PRU15 itu akan diadakan, buat masa ini boleh dikatakan jentera PKR Johor telah 80 peratus bersedia untuk menghadapi PRU15,”

Diminta mengulas mengenai penggunaan logo yang akan digunakan PH pada PRU15 di Johor nanti, katanya, PKR bersedia mengikut apa yang ditetapkan Majlis Presiden PH. -MalaysiaGazette