KUALA LUMPUR – Biarpun negara sudah menghampiri 90 peratus populasi dewasa yang lengkap divaksinasi, namun rakyat negara ini tidak harus mengabaikan prosedur operasi standard (SOP).
Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Malaysia harus mengambil iktibar daripada negara-negara luar yang mempunyai kadar vaksinasi yang tinggi tetapi bilangan kes positif masih terus meningkat.
“Setiap daripada kita harus mengambil langkah yang proaktif dalam melakukan penilaian risiko kendiri dan saya yakin kerajaan juga akan mengambil langkah-langkah yang perlu dalam memantau dan mengawal risiko penularan virus ini di sektor-sektor yang dilonggarkan.
“Ingat, semakin ramai yang menerima vaksinasi lengkap, semakin ramai yang terlindung dari dijangkiti dengan teruk oleh virus COVID-19. Dengan itu, beban kepada sistem kesihatan awam juga akan berkurang.
“Ini mendorong lebih banyak kawalan sektor ekonomi dan sosial dilonggarkan dan lebih cepat kita kembali menjalani kehidupan norma baharu. Sudah semestinya, semua ini dapat membantu mempercepatkan lagi proses pemulihan negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, berkat usaha dan perancangan yang cekap oleh kerajaan bermula Mei lalu termasuk arahan meningkatkan kadar vaksinasi secara agresif selain mempertingkatkan kapasiti sistem kesihatan awam, bilangan kes positif telah menunjukkan penurunan yang memberangsangkan.
“Suka saya ingatkan, kita masih perlu sentiasa mengambil langkah berwaspada memandangkan virus Covid-19 ini telah pun berada di dalam komuniti.
“Transisi dari tahap pandemik ke endemik bukan sahaja harus dilakukan dengan yakin dan berani tetapi juga perlu teratur dan penuh sistematik,” ujar Muhyiddin.
Untuk rekod, hanya tinggal 2.8 peratus lagi untuk negara mencapai 90 peratus populasi dewasa lengkap divaksin selepas 20,418,495 individu atau 87.2 peratus selesai menjalani suntikan vaksin Covid-19 setakat semalam.
Berdasarkan perangkaan di portal CovidNow, 94.3 peratus atau 22,070,545 individu daripada populasi dewasa menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin, manakala 3 peratus atau 92,949 remaja berusia 12 hingga 17 tahun telah selesai divaksinasi. – MalaysiaGazette
Haaa ni apa lagi..sudah2 laaa..balik2 rakyat..ko yg gagal..dgn darurat berbulan2 tak berjaya..ramai rakyat mati, ekonomi merundum..lg nak bersuara??